UNTUNGNYA RINGGIT JATUH.....

 

Ringgit merudum 4.52, berbanding dolar AS





Jangkaan inflasi lebih tinggi, termasuk di Asia, ternyata menyebabkan pelabur mengelak aset berisiko, kata penganalisis.

KUALA LUMPUR: Ringgit susut berbanding dolar AS pada akhir urus niaga Rabu dengan mencecah paras terendah baharu dalam tempoh 24 tahun, selepas terus diasak tekanan susulan jangkaan pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat AS (Fed) menaikkan lagi kadar faedah akibat inflasi tinggi.

Unit tempatan itu susut kepada 4.5265/5285 berbanding dolar AS daripada 4.5070/5085 pada akhir urus niaga semalam.

Ringgit melepasi paras 4.5200 pada pagi ini yang juga angka terendah baharu dalam tempoh 24 tahun berbanding dolar AS.

Penganalisis Pasaran ActivTrades, Alexander Londono berkata, jangkaan inflasi yang lebih tinggi, termasuk di Asia, ternyata menyebabkan pelabur mengelak aset berisiko dan sebaliknya beralih kepada aset selamat seperti dolar AS.

“Bagaimanapun, perlu ditekankan bahawa mata wang itu lebih cenderung untuk turun dan terdedah mengalami pembetulan yang ketara,” katanya kepada Bernama.

Londono berkata, jika angka Indeks Harga Pengeluar AS lebih tinggi daripada dijangkakan, dolar AS akan terus mengukuh yang hanya mendorong kepada penyusutan ringgit.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Firdaos Rosli berkata, ringgit akan terus menerima tekanan berbanding dolar AS apabila jurang kadar faedah semakin melebar manakala kadar dana Persekutuan AS akan lebih tinggi berbanding kadar dasar semalaman (OPR) menjelang minggu depan.

Jelas beliau, pasaran juga memberi reaksi terhadap data terkini Indeks Harga Pengguna AS yang menunjukkan inflasi negara itu kekal tinggi biarpun harga minyak lebih rendah pada Ogos serta kenaikan kadar faedah secara agresif oleh pihak Rizab Persekutuan AS sejak beberapa bulan lepas.

Dalam pada itu, ringgit turut diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.2252/2268 daripada 3.2153/2174 dan rendah berbanding yen kepada 3.1616/1635 daripada 3.1282/1301 sebelum ini.

Unit tempatan itu turut rendah berbanding pound Britain pada 5.2331/2354 daripada 5.1989/2012 dan susut berbanding euro pada 4.5306/5326 daripada 4.5105/5125, sebelumnya.

Kenapa untung? Bagi pemain matawang Dollar, ia memberi sedikit keuntungan buat pemain dollar tempatan dengan peningkatan dollar dan keruntuhan ringgit.

No comments: