JAGA-JAGA PAS BUAT SOLAT HAJAT- NANTI TERBUKA PINTU HATI NAK JOIN PAS SAMA SAMA...BAGI RAKYAT PULA ISTIQAMAH LAH DENGAN PERJUANGAN TANPA WANG RINGGIT DEMI ISLE.....

 


Yang penting rakyat, bukan wakil rakyat, exco Umno jawab PAS Pahang




Exco Pahang, Shahaniza Shamsuddin berkata, dakwaan peruntukan
 disekat menyukarkan pembangunan umat Melayu Islam tidak berasas
 kerana kerajaan negeri menyalurkan bantuan secara terus kepada
 rakyat. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang exco Pahang berkata, penamatan peruntukan untuk lapan ADUN PAS di negeri itu tidak bermakna kerajaan negeri mengabaikan rakyat di kawasan berkenaan kerana bantuan sebenarnya disalurkan secara terus kepada golongan memerlukan.

Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Shahaniza Shamsuddin berkata, dakwaan peruntukan disekat menyukarkan pembangunan umat Melayu Islam tidak berasas kerana kerajaan negeri menyalurkan bantuan secara terus kepada rakyat.

“Yang penting rakyat kan, bukan wakil rakyat. Kalau nak kata peruntukan tak terima dan kita menyekat pembangunan masyarakat Melayu Islam di kawasan mereka itu tidak betullah.

“Contoh baru-baru ini, saya ada bagi penyerahan sumbangan kerajaan negeri kepada DUN Luit sebanyak RM288,000…keseluruhan saya bagi untuk Luit dan Chenor saja kira-kira RM2 juta,” katanya kepada FMT.

Jelasnya, kerajaan negeri yang ditadbir Umno-Barisan Nasional (BN) tetap menjaga kebajikan rakyat di kawasan wakil rakyat PAS dan pembangkang dengan melantik exco negeri sebagai “caretaker” di kawasan terbabit.

“Kawasan PKR, DAP, PAS ke semua dapat. Tiada layanan istimewa untuk kawasan BN saja. Kita tak zalim,” tegasnya.

Shahaniza yang juga ketua Umno Bahagian Maran dilantik sebagai “caretaker” bagi DUN Luit dan Chenor di bawah Parlimen Maran sejak 2018. Dua DUN itu dimenangi wakil rakyat PAS, Mohd Sofian Abd Jalil (Luit) dan Mujjibur Rahman Ishak (Chenor).

Semalam, ADUN Panching, Tarmizi Yahaya mendedahkan semua wakil rakyat PAS di Pahang tidak menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri sejak Januari lalu.

Katanya, peruntukan RM20,000 yang mula disalurkan kepada mereka sejak kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran Putrajaya pada Mac 2020, ditamatkan tanpa sebarang notis mulai awal tahun ini.

Daripada 42 kerusi DUN, PAS mempunyai lapan wakil rakyat, iaitu Tahan (Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin) dan Damak (Zuridan Mohd Daud) dalam Parlimen Jerantut; Beserah (Andansura Rabu) dalam Parlimen Indera Mahkota; Tanjung Lumpur (Rosli Abdul Jabar) dalam Parlimen Kuantan; Panching dalam Parlimen Paya Besar; Luit (Mohd Sofian Abd Jalil) dan Chenor (Mujjibur Rahman Ishak) dalam Parlimen Maran; serta Jengka (Shahril Azman Abd Halim) dalam Parlimen Kuala Krau.

Kelmarin, Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari mendedahkan ADUN PAS di Pahang tidak menerima sebarang peruntukan dari kerajaan negeri itu. Ini berbeza dengan situasi di Kelantan dan Terengganu, di mana ADUN Umno masih menerima peruntukan daripada kerajaan negeri, walaupun tidak bersama dalam pentadbiran.

FMT sedang mendapatkan maklum balas daripada pejabat Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail untuk penjelasan lanjut.

No comments: