INGATAN UNTUK ZAHID HAMIDI – JIKA BANJIR BESAR, MAHKAMAH PUN MUNGKIN TUTUP JUGA

 

Nampaknya Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi begitu tidak sabar dan sangat terdesak mahu PRU15 diadakan pada tahun ini juga.

Di sebalik Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sekadar mengatakan PRU15 bakal diadakan tidak lama lagi, beliau sebaliknya terus mendesak dan mendesak agar tarikhnya segera dipercepatkan.

Walhal, maksud tidak lama lagi seperti disebutkan Perdana Menteri itu tidak semestinya bererti Parlimen akan dibubarkan minggu depan atau bulan depan.

Tidak lama lagi boleh juga bermaksud dua bulan lagi, tiga bulan lagi atau mungkin enam bulan lagi.

Apa hal Zahid Hamidi nak cepat-cepat sangat Parlimen dibubarkan, tidakkah pemilihan UMNO sudah ditetapkan hanya akan diadakan selepas enam bulan PRU15 dilangsungkan?

Sehingga, seperti seorang yang lupa kepada tanggungjawab sesama manusia, beliau bertegas, waima jika PRU15 diadakan di musim banjir sekali pun, jentera BN tetap bersedia mengharunginya.

Apa ni Zahid Hamidi, inikah watak dan perangai pemimpin yang faham erti tanggungjawab?

Ketika banjir, lebih-lebih lagi jika keadaannya teruk dan disertai hujan lebat yang berpanjangan, apakah ketika itu juga jentera BN mahu sibuk berkempen dan mencari undi?

Kegilaan apakah ini?

Tak fikir nyawa manusia ke?

Apakah di mata Zahid Hamidi dan jentera BN, mencari undi lebih penting daripada menyelamatkan nyawa serta harta benda manusia?

Sedarlah sikit wahai Zahid Hamidi, jika musim banjir mula melanda, rasanya tidak mungkin Ismail Sabri sedia untuk membubarkan Parlimen kerana beliau tentunya mahu tumpuan ketika itu difokusman kepada usaha-usaha penyelamatan.

Ketika banjir, lupakankan dulu bab politik dan pilihanraya kerana nyawa manusia lebih penting daripada segala-galanya untuk diselamatkan.

Kalau banjir terlalu dalam, merbahaya dan mengancam nyawa, bukan saja PRU tidak wajar diadakan, bahkan perbicaraan mahkamah pun harus dilapangkan.

Jadi, di mana munasabahnya Zahid Hamidi bertegas mahu PRU15 diadakan ketika musim banjir sekali pun?

Membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU15 ketika banjir sebaliknya hanya akan mendedahkan Perdana Menteri sebagai “poster boy” BN kepada kecaman yang lebih meluas daripada rakyat.

Akan wujud pandangan bahawa beliau tidak prihatin kepada nasib dan masalah yang sedang menimpa rakyat di kala banjir sedang melanda.

Jika hujung tahun ini tiada banjir besar, tiada masalah kiranya Perdana Menteri mahu memilih untuk membubarkan Parlimen, tetapi beliau harus mendapatkan nasihat daripada pihak-pihak berkaitan terlebih dahulu.

Tetapi, jika hujan lebat dan banjir besar diramalkan berlaku, eloklah ditangguhkan dahulu sehingga ke tahun depan.

Untuk apa Perdana Menteri perlu tergesa-gesa atau terlalu menurut kehendak Zahid Hamidi yang mahu PRU15 disegerakan, beliau bukan “poster boy” BN dan bukan calon Perdana Menteri pun?

Laluan Zahid Hamidi lebih terbuka untuk ke penjara berbanding ke Putrajaya.

Tambahan lagi, kalau Zahid Hamidi boleh menangguh-nangguhkan pemilihan UMNO, apa salahnya pula jika tarikh PRU15 dilewat-lewatkan?

Alasan banjir dan hujan lebat adalah faktor paling munasabah untuk Ismail Sabri tidak mengadakan PRU pada ketika ini berbanding tiada alasan konkrit ketika Zahid Hamidi tetap berusaha menangguhkan pemilihan UMNO, melainkan bimbang kehilangan jawatan Presiden UMNO yang disandangnya sekarang. – Shahbudinahusin 18/09/2022.