Hadi Awang pernah berkicau di Twitter: “Adat orang berumah tepi pantai, menjala dan memancing menjadi hobi.”
Sememangnya rumah presiden PAS itu berdekatan pantai di Terengganu. Maka, menjala dan memancing ikan menjadi kegemarannya.
Semasa Muhyiddin Yassin membentuk kerajaan setelah merampas kuasa darIpada Pakatan Harapan (PH) menerusi Langkah Sheraton, wartawan meminta komennya jika beliau tidak dipilih untuk jawatan timbalan perdana menteri, meskipun PAS turut menjayakan Langkah Sheraton.
Jawapan Hadi dengan nada berseloroh: “Kalau saya tak dipilih pun tak apa, saya balik jadi nelayan pun tak apa.”
Hadi, kita tahu tidak dipilih sebagai TPM oleh Muhyiddin mahupun Ismail Sabri Yaakob yang mengambil alih jawatan perdana menteri, setelah Muhyiddin ditumbangkan.
Hadi bagaimanapun tidak “balik jadi nelayan”. Giliran saya berseloroh. Hakikatnya, beliau masih aktif sebagai politikus. Namun sedang “memancing”, bukan ikan, tetapi memancing undi. Secara spesifik, pengundi Melayu.
Catatan terbaharu Hadi melalui ruangan Minda Presiden PAS siaran media milik partinya, pada hemat saya, sedikit sebanyak memaparkan strategi PAS menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15). Matlamatnya jelas, iaitu memancing undi Melayu.
Kata-kata dan hujah catatan 15 Sept lalu dengan judul “Mengapa PAS menolak Pakatan Harapan?” berkisar soal menjaga kepentingan orang Melayu-Islam. Diulang-ulang. Ringkasnya, apa yang Hadi luahkan ialah keburukan (dosa?) PH dan kebaikan (pahala?) PAS.
Beliau menuduh “mereka mengamalkan politik dendam melalui kenyataan terbuka yang mengganggu gugat urusan pentadbiran negara dan menyusahkan badan kehakiman”. Siapa “mereka” yang beliau maksudkan? Berdasarkan tajuk catatan mestilah PH.
Hadi juga mendakwa “dalam PH terkumpul kalangan mereka yang nyata bersikap anti-Islam, mengancam institusi raja-raja, Rukun Negara, dan asas Perlembagaan Persekutuan, khususnya kemuliaan Islam sebagai agama bagi persekutuan”.
Pada masa sama, Hadi berkata: “Ada (maksudnya PH) yang lantang menentang usaha PAS dalam melaksanakan Islam secara demokrasi sehingga mereka terus mempertahankan undang-undang warisan penjajah dan sistem kehakimannya yang rapuh.”
Selari dengan catatannya, Hadi memberitahu, partinya tidak bersedia memasuki khemah besar PH dan mengapa mereka menolak PH.
Kata Hadi, PH tidak mampu menegakkan keadilan yang menyeluruh kepada rakyat, walaupun dalam gabungannya terdapat parti yang menjadikan keadilan dan amanah jenamanya.
Hadi mendakwa ramai dalam kalangan PH yang tidak beriman (beraqidah) dan tidak bermoral (berakhlak) secara terbuka mengumpul kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah.
Hadi turut mendakwa dalam PH terdapat juga kalangan fanatik yang bencikan Melayu dan Bumiputera, tanpa peduli adanya “hak terhadap agama lain dan berbagai-bagai kaum yang sudah mencukupi”.
Tentunya beliau memuji parti sendiri. Menurut Hadi, Islam yang menjadi aqidah perjuangan PAS menetapkan politik tidak berpisah daripada agama yang ada perhitungan dosa dan pahala serta dibawa ke alam akhirat. “Maka, wawasan PAS tidak tamat sekadar melepaskan harapan di alam dunia,” kata beliau.
PAS katanya, menentang teori Malaysian Malaysia dan “menentang sikap fanatik perkauman kerana kedua-duanya bercanggah dengan Islam dan fitrah manusia”.
Pada masa sama, beliau berkata, “PAS menegaskan kalau ada sesiapa yang membuat kenyataan orang Melayu ini bersifat perkauman, halaukan dia kerana tidak mengenang budi.”
Seperti saya katakan tadi, catatannya mengenai apa yang beliau dakwa “keburukan” PH dan apa yang beliau lihat “kebaikan” PAS berlatarbelakangkan elemen “kemelayuan”.
Panjang lebar catatannya yang saya tidak bercadang ulangi di sini. Yang berminat mendapatkan catatan penuh Hadi sila Google.
Bandingkan dengan sedutan ucapan ini yang dikaitkan dengan Hadi pada 7 April 1981 di Kampong Banggol Peradong, Kuala Terengganu:
“Saudara-saudara sekalian percayalah, kita menentang Umno bukan kerana nama dia Umno. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan Perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh kerana itulah kita cuba berlawan dengan mereka.”
Berkata lagi Hadi:
“Percayalah saudara-saudara sekalian,
Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha. Kita tidak perlu masuk Hindu. Kita tidak perlu masuk Kristian. Tapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku agama suku.”
Kata-kata itu dikenali sebagai Amanat Hadi. Ia mengakibatkan tercetus perpecahan umat Islam, khusus di negeri Pantai Timur. Antara anak dengan ibu bapa, suami dengan isteri (sehingga ada yang membawa kepada penceraian), saudara-mara, kawan-kawan. Ada juga terjadi masalah dua imam, yakni seorang mengimamkan sembahyang yang didirikan kumpulannya, manakala seorang lagi menjadi imam untuk kumpulan lain.
Adakah apa yang dicatat Hadi pada 15 Sept 2022 sama dengan ucapan pada 7 April 1981 itu? Bolehkah ia dianggap Amanah Hadi 2.0? Amanat versi baharu? Atau sesuatu yang sama, tetapi tidak serupa?
Kata seorang pemerhati politik: “Yang cakap dulu dan cakap sekarang sama. Cuma penggunaan ayat, tapi punya maksud sama.” Penulis politik terkenal, Mohd Sayuti Omar setuju.
Bagi ADUN Tebing Tinggi dari DAP, Aziz Bari, begitulah asasnya sama – cuma mangsanya lain. “Dulu kafirkan Umno, sekarang Hadi kafirkan PH, sedangkan PH ini pada asasnya adalah PR (Pakatan Rakyat) yang dia sendiri ikut dulu,” kata Aziz.
Seorang bekas aktivis Umno pula dengan sinis menegaskan: “Politik PAS terbaik. Mana-mana parti yang bersama PAS pasti menjadi suci. Bila tidak bersama lagi, terus jatuh hukum haram, kotor, dan sebagainya. Tak boleh ke berhenti menjatuhkan hukum pada orang lain? Inilah sebenarnya ‘the ugly side of’ pemimpin PAS.”
Kata Sayuti, presiden PAS rasa beliau tahu pemikiran orang Melayu boleh “diperolok-olokkan” dengan agama, jadi modal politik paling ampuh buatnya.
Tetapi, adakah taktik Hadi boleh mendapatkan sokongan untuk PAS pada PRU15? “Setakat Kelantan, Terengganu, Kedah bolehlah,” menurut penulis politik veteran itu.
Bagaimana pula pengundi muda? “Mereka tidak peduli ‘fatwa’ karut tu,” jawab Sayuti ringkas.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.