Laporan
media Sinchew kelmarin mendakwa sistem E-Penyata Gaji Kerajaan telah dibolosi
oleh penjenayah siber yang mungkin telah mencuri satu juta set data peribadi
serta dua juta slip gaji amat membimbangkan.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Fahmi Fadzil,
sekiranya dakwaan itu benar maka segala data peribadi penjawat awam yang
berjumlah 1.2 orang dan ahli-ahli Jemaah Menteri telah dicuri dan bakal dijual
oleh penjenayah siber.
"Insiden terkini adalah satu pencerobohan yang menjejaskan
terhadap keselamatan peribadi bukan sahaja para penjawat awam malah juga
pimpinan utama negara. Ia adalah satu krisis keselamatan siber negara yang
tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
"Ini merupakan kecurian data berskala besar keempat yang
dilaporkan bagi tahun 2022, dan dianggarkan lebih 25 juta set data peribadi
dicuri sehingga kini untuk tahun ini sahaja.
"Oleh itu, saya menggesa Perdana Menteri mengambil perhatian
serius atas isu ini dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi
menyiasat segala insiden kecurian data peribadi di Malaysia dalam lima tahun
kebelakangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan itu juga mahu Perdana Menteri
mengarahkan semua Kementerian dan agensi Kerajaan untuk segera melakukan audit
keselamatan siber (cyber security audit) bagi mengenalpasti dan menutup segala
kelompongan atau eksploit keselamatan siber yang membolehkan penjenayah siber
terus mencuri data peribadi rakyat Malaysia.
Selain, katanya Perdana Menteri perlu memberi penjelasan tentang
perkara itu pada sidang Parlimen yang akan datang.
"Menteri Kewangan, Menteri Komunikasi dan Multimedia pula
perlu meneliti satu mekanisme denda atau hukuman yang lebih berat terhadap
pengendali pangkalan data peribadi yang gagal menjamin keselamatan data dalam
kendalian mereka, serta satu mekanisme pampasan atau ganti rugi bagi semua
mangsa jenayah kecurian data peribadi.
"Ini bagi menghantar mesej yang amat jelas, mana-mana pihak
yang mengendali data peribadi wajib dipertanggungjawabkan sekiranya keselamatan
data tersebut terjejas dan mereka yang menjadi mangsa kecurian data wajib
mendapat keadilan," katanya.
Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi, kecurian data
peribadi melibatkan kerajaan amat serius apabila tiga dari empat insiden
kecurian data peribadi pada tahun ini didakwa melibatkan agensi-agensi
Kerajaan.
Katanya, kerajaan tidak boleh terus mengelak untuk meminda Akta
Perlindungan Data Peribadi 2010, termasuk dengan tidak mengecualikan Kerajaan
Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri dari pemakaian akta tersebut.
Pindaan itu juga, ujarnya, mesti mengambil kira perkara-perkara utama
yang disenaraikan di dalam Kertas Perundingan Awam No. 01/2020 yang diterbitkan
pada 14 Februari 2020, dan semua pihak termasuk Pembangkang perlu dilibatkan
sebelum pindaan dibentang di Parlimen pada Oktober ini.
"Data peribadi kita adalah aset dan khazanah negara. Ia mesti dilindungi sebaik mungkin," kata Fahmi lagI.