Dari Rafizi Ramli
18 September 2022
DESAKAN UMNO BUAT PRU15 SEMASA BANJIR
Kenyataan Presiden UMNO, Dato’ Seri Zahid Hamidi yang memperlekehkan risiko dan kesengsaraan rakyat sekiranya PRU15 dipanggil di musim tengkujuh menunjukkan terpisahnya beliau dan UMNO dari realiti kehidupan rakyat.
Semasa berucap semalam, beliau dipetik berkata “sanggup meredah banjir” sekiranya PRU15 dijalankan semasa musim tengkujuh seperti yang didesak UMNO.
UMNO seolah-olah lupa kesengsaraan yang dialami rakyat sejak sedekad yang lalu akibat bencana banjir. Dua kejadian banjir besar di Sri Muda (tahun 2021) dan Baling (tahun ini) tidak pun terkesan kepada pimpinan UMNO, apatah lagi untuk menginsafkan mereka bahawa kebajikan rakyat perlu diutamakan.
Kenyataan Zahid itu cukup berbeza dengan nada pimpinan Pakatan Harapan dalam temu rapat PH yang berakhir Khamis lalu (15 September 2022). Salah satu kandungan utama ketetapan yang dicapai dalam temu rapat tersebut ialah agar negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Harapan mengusahakan langkah-langkah bersepadu menangani bencana banjir yang dijangka tiba, termasuklah mengisytiharkan “Kecemasan Bencana Iklim” (climate emergency) untuk mengurangkan musibah kepada rakyat.
Sementara tumpuan kerajaan-kerajaan negeri adalah untuk membantu rakyat, UMNO dan pimpinannya menolak ke tepi risiko banjir dalam kegilaan mereka mendesak PRU15 diadakan segera demi mencari kuasa.
Keangkuhan sebegini tidak wajar dibiarkan berterusan tanpa ada tindak balas dari rakyat.
Oleh yang demikian, saya sendiri akan mengusahakan satu pungutan suara rakyat (“public referendum”) untuk menunjukkan kepada Zahid dan UMNO bahawa rakyat mencemuh parti-parti politik yang galak berebut kuasa hingga mengabaikan persediaan menghadapi banjir.
Dalam tempoh seminggu dari sekarang, saya akan melancarkan pungutan suara secara digital dan kempen siap siaga banjir supaya rakyat boleh menyatakan desakan mereka agar kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri memberi sepenuh tumpuan untuk menghadapi banjir.
Tragedi yang berlaku kebelakangan ini yang melibatkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa sepatutnya menjadi iktibar kepada semua parti politik untuk tidak ambil mudah isu perubahan iklim dan bencana alam sekitar yang menimpa rakyat.
Jika ahli politik seperti Zahid Hamidi masih tidak mengambil iktibar, wajarlah UMNO dan pimpinannya disekolahkan untuk mula belajar mengutamakan kebajikan rakyat.
RAFIZI RAMLI