TITAH YANG DI-PERTUAN AGONG DISAMBUT BAIK, TETAPI…

 

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah R’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini (14 Jun 2022) dilaporkan bertitah bahawa agama Islam dan semua agama di dunia mengutuk dan mencela amalan rasuah kerana ia adalah bagai sebuah barah yang boleh menghancurkan sebuah tamadun. (sila rujuk Malaysiakini edisi Bahasa Melayu 14 Jun 2022 jam 5.27 petang).

Titah diraja yang penting ini diucapkan di tempat yang penting juga iaitu di Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UITM) ke-93 di Shah Alam pada hari Selasa 14 Jun 2022.

Baginda kemudian memetik catatan Sejarah Melayu ‘Sulalatus Al-Salatin’ yang diriwayatkan oleh Tun Sri Lanang tentang bagaimana runtuhnya kerajaan Melaka akibat perbuatan rasuah Bendahara Maharaja.

Sebagai seorang ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKRM) SPRM yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, saya berpendapat apa yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong tersebut adalah benar.

Malaysia bernasib baik kerana ada Ketua Negara yang lantang bersuara menentang musuh utama negara, iaitu korupsi atau rasuah.

Bagi saya, korupsi musuh negara nombor satu dan inflasi musuh negara nombor dua. Jika kedua-duanya, korupsi dan inflasi bergabung serentak seperti sekarang ini di Malaysia, maka 33 juta rakyat di negara ini boleh “mati “ dibuatnya. Jadi dalam aspek ini, Titah Yang di-Pertuan Agong di UITM pada hari ini sangat relevan dan penting.

Pada hemat Penulis, Yang di-Pertuan Agong telah dibekalkan oleh Kerajaan dan Negara dengan pelbagai penasihat dan pembantu istana. Pegawai-pegawai istana tersebut yang membawa gelaran hebat-hebat seperti Datuk Bijaya Diraja, Datuk Bentara Diraja dan lain-lain.

Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai akses kepada Peguam Negara yang bertindak sebagai peguam kepada Kerajaan.Tidak ada sesiapa kah yang berani tampil ke depan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya jangan menjemput bekas Perdana Menteri Najib Razak (seorang pesalah rasuah) ke Istana negara?

Penulis menghormati hak peribadi seseorang termasuk Yang di-Pertuan Agong untuk menjemput sesiapa juga sebagai tetamu datang ke rumah, lebih-lebih lagi di bulan Puasa dan di hariraya. Tetapi jawatan Yang di-Pertuan Agong adalah payung negara. Ia satu tugas besar negara yang lebih besar dari urusan peribadi.

Tugas Yang di-Pertuan Agong bersifat rasmi sepanjang masa kerana Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Kepada badan Eksekutif (Kerajaan), Ketua Kepada badan Perundangan (Parlimen) dan ketua kepada badan Kehakiman.

Tidak seperti Perdana Menteri atau Speaker Parlimen ataupun Ketua Hakim Negara, jawatan Yang di-Pertuan Agong memikul tiga tugas sekaligus oleh seorang diri. Tidak ada prinsip pemisahan kuasa bagi jawatan yang di-Pertuan Agong. Begitulah besar, mulia dan rasminya peranan raja atau sultan yang bergelar Yang di-Pertuan Agong.

Jadi Penulis menganggap satu kesilapan telah berlaku di pihak Istana Negara apabila Najib Razak diundang ke Istana Negara untuk santapan diraja bersama Yang di-Pertuan Agong dan peristiwa itu kemudian ditular di media sosial dan dikongsi kepada khalayak ramai, tentu sekali termasuk pelajar-pelajar universiti.

Dan tentu sahaja ada anak-anak mahasiswa yang pada hari ini yang menjadi graduan di Istiadat Konvokesyen di UITM Shah Alam di kala mereka mendengar nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai bahaya rasuah akan teringat peristiwa Najib Razak diundang ke Istana Negara untuk bersantap bersama baginda.

Semua orang tahu betapa rapatnya hubungan Najib Razak dengan Yang di-Pertuan Agong sekarang. Mereka sama-sama dari Pahang. Tetapi itu soal hubungan peribadi.Tidak boleh dicampur-aduk dengan urusan rasmi negara.

Dato’ Seri Najib Razak bekas seorang Perdana Menteri dan ahli politik yang senior sepatutnya sedar dan mengambil inisiatif menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya tidak menjemput beliau ke Istana Negara bersandarkan latarbelakang bahawa beliau telah didapati bersalah oleh Mahkamah.

Najib mempunyai tanggungjawab moral untuk mengingatkan Yang di-Pertuan Agong bahawa dirinya selaku bekas Perdana Menteri telah disabitkan bersalah dalam kes rasuah RM42 juta SRC International Sdn.Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta. Fakta sebenarnya jumlah hukuman penjara ke atas Najib bagi kesemua pertuduhan yang disabitkan kesalahan ialah selama 72 tahun jika dijalankan secara berasingan (consecutive). Tetapi ia menjadi hanya 12 tahun apabila hukuman penjara itu dijalankan secara serentak (concurrent).

Sabitan bersalah dan hukuman ke atas Najib Razak itu telah disahkan oleh tiga (3) orang Hakim Mahkamah Rayuan berikutnya, apabila Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan menolak rayuan Najib Razak.

Najib Razak sepatutnya menjadi seorang negarawan dengan berani menyatakan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa prinsip undang-undang yang menyatakan bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan di mahkamah adalah tidak terpakai kepada dirinya.

Ini adalah kerana Najib telah dibuktikan bersalah di dua buah mahkamah iaitu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Rayuan Malaysia.

Walaupun Najib Razak telah membuat rayuan lanjut ke Mahkamah Persekutuan tetapi rayuan tidak bermakna sabitan kesahan dan hukuman dilupuskan. Sabitan kesalahan rasuah dan hukuman penjara masih kekal pada Najib Razak hingga sekarang ini.

Sayang sekali titah Yang di-Pertuan Agong yang membawa tema penting anti-rasuah dalam ucapan baginda di UITM Shah Alam pada hari ini telah dianggap sebagai “titah kosong” kerana lain yang dicakap, lain pula yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong, sungguhpun baginda masih dikasihi dan dihormati rakyat.

Penulis ingin merekodkan di sini bahawa apa yang ditulis di sini bukannya fitnah atau hasutan. Tetapi ia adalah suatu pernyataan benar yang berasaskan fakta.

Tidak ada niat jahat apabila Penulis menyatakan ini semua. Sebab Penulis boleh mengambil sikap berdiam diri seperti “tikus jatuh ke beras”. Tetapi itu tentunya bukan hasrat yang di-Pertuan Agong apabila melantik Penulis sebagai seorang ahli Jawatankuasa Mengenai Rasuah (JKMR) SPRM.

Penulis mengambil pendirian berani berkata benar walaupun di hadapan raja demi kepentingan awam. Tulisan ini merupakan satu komen yang berpatutan untuk dijadikan renungan supaya institusi Raja Berperlembagaan dapat terus kekal bergandingan dengan demokrasi berparlimen di Malaysia.

Peristiwa raja-raja dan sultan Melayu di Sumatera contohnya Kesultanan Langkat, Kesultanan Siak dan lain-lain hilang satu demi satu dalam revolusi sosial di Indonesia ketika rakyat negara itu berjuang menuntut kemerdekaan dari penjajah Belanda patut menjadi contoh tauladan kepada istana-istana raja dan sultan di Malaysia, khususnya institusi Yang di-Pertuan Agong.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) SPRM

14 Jun 2022 (Selasa)

 

No comments: