JASA ARSHAD AYUB

 

NIK HASYUDIN

Anak Cucu Cicit Arshad (ACCA)




Anak Cucu Cicit Arshad (ACCA)

Bila Arshad Ayub diberi tanggungjawab untuk mentadbir Institut Teknologi MARA (ITM), beliau memperkenalkan beberapa kursus profesional seperti ACCA (perakaunan) dan ICSA (kesetiausahaan syarikat).

Tujuannya mudah sahaja. Jika anak-anak ITM berjaya mendapatkan kelulusan demikian, mereka sudah setaraf dengan mana-mana manusia di muka bumi ini yang mempunyai kelulusan yang sama. Tak perlu apa-apa bukti lain lagi.

Baru-baru ini anak-anak ini telah meraikan Tun Arshad Ayub sempena penganugerahan Seri Setia Mahkota oleh Yang DiPertuan Agong. Di antara mereka yang direkodkan di dalam foto ini adalah Dato Khalid Ahmad dan Abdul Rahim Hamid. Mereka berdua telah berjaya di dalam kerjaya masing-masing dengan kelulusan ACCA melalui ITM. Mereka juga banyak menyumbang melalui penglibatan mereka di dalam sektor korporat dan juga perakaunan. Ramai lagi anak-anak ITM yang mempunyai kejayaan yang sama.

Tun Arshad nampak jika anak-anak ITM diberikan peluang, mereka boleh terbang tinggi. Mereka didorong untuk mencapai apa yang dikira sukar pada ketika itu. Tidak ada masalah ACCA adalah kelulusan Mat Salleh dan meningkatkan aliran keluar wang ke luar negara (kelayakan akademik di luar negara pun menpunyai kesan yang sama Description: 😀). Yang penting anak-anak ITM mencapai kelayakan yang dimahukan oleh pasaran. Lepas itu giliran mereka pulalah untuk berbakti dan mengangkat anak-anak bangsa mereka yang lain.

Oleh kerana sudah ramai anak-anak bangsa mendapat kelayakan ACCA melalui ITM (kemudiannya UiTM), mereka telah menggelarkan ACCA sebagai Anak Cucu Cicit Arshad. Ini adalah tanda penghargaan mereka kepada seorang yang mempunyai visi yang jelas dan tidak takut untuk menaikkan anak-anak ini ke tahap yang sama tinggi dengan orang lain. Tun Arshad tidak menjadikan MERIT sebagai hantu tetapi tahap yang mampu dicapai dengan usaha yang gigih.

 

No comments: