MALAYSIA MASIH BERHUTANG RM13.3 BILION ANGKARA NAJIB


 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Malaysia masih berhutang AS$3 bilion atau RM13.3 bilion hasil usaha sama (JV) antara 1MDB dan Aabar Investments.

Bekas pegawai kementerian kewangan, Siti Zauyah Md Desa, yang pernah berkhidmat di bahagian pengurusan pinjaman kementerian itu, berkata 1MDB tidak pernah melaporkan kepada bahagiannya berhubung usah sama berkenaan. (1MDB dimiliki sepenuhnya oleh MoF Inc).

Semasa perbicaraan kes rasuah RM2.28 bilion 1MDB yang membabitkan bekas perdana menteri dan menteri kewangan Najib Razak, saksi pendakwaan ke-23 itu mendakwa bahawa firma pelaburan negara tersebut cenderung berurusan secara langsung dengan tertuduh dan bukannya melalui bahagiannya.

Siti Zauyah memaklumkan bahawa Najib menandatangani surat sokongan (LOS) bagi menyokong usaha sama antara 1MDB dan Aabar Investments PJS, yang adalah anak syarikat International Petroleum Investment Company (IPIC).

“Saya mengesahkan bahawa status pinjaman AS$3 bilion yang dirujuk dalam kenyataan saksi, bahawa 1MDB sebagai peminjam AS$3 bilion, telah gagal membayar balik pinjaman itu mengikut terma yang ditetapkan.

“Perkara ini menyebabkan kerajaan hari ini terpaksa membayar balik hutang 1MDB berdasarkan LOS yang dikeluarkan kerajaan yang ditandatangani oleh menteri kewangan Najib Razak pada 2013.

“Selepas surat sokongan kepada 1MDB dikeluarkan pada 2013, menteri kewangan itu tidak lagi mengeluarkan sebarang jaminan kepada 1MDB,” kata Siti Zaudah hari ini.

Dia memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa sekiranya 1MDB gagal membayar balik hutangnya, bank pemberi pinjaman akan “mengejar” kerajaan Malaysia kerana LOS ditandatangani oleh Najib.

Pinjaman itu didakwa dikumpul melalui terbitan bon 1MDB oleh Bank of New York Mellon Group. Bon tersebut matang tahun depan.

No comments: