KESAN EMPANGAN NENGGIRI :
PUSAT SEJARAH TERPENTING KELANTAN AKAN BERKUBUR DI BAWAH AIR
SELAMANYA
Pembinaan Empangan Nenggiri akan menyebabkan sebahagian Bumi
Kelantan akan tenggelam selama-lamanya.
Apakah perkara-perkara yang akan tenggelam sampai bila-bila itu?
Sebagai Rakyat Kelantan, wajar untuk kita fahami kesan-kesan
negatif dan kekal yang akan timbul dari Projek Empangan Nenggiri yang nampaknya
sangat dibanggakan oleh sesetengah pihak.
Melalui posting ini, saya melaksanakan tugas saya untuk
berkongsi info untuk pengetahuan bersama.
Info ini saya petik dan kongsikan dari RINGKASAN EKSEKUTIF
PROJEK EMPANGAN NENGGIRI OLEH UKM PAKARUNDING SDN BHD.
Berikut saya perturunkan laporan itu secara petikan terus,
kecuali satu dua para yang bersifat terlalu akademik yang saya tinggalkan :
'Lembangan Sungai Nenggiri yang terletak di Hulu Kelantan
mempunyai banyak tinggalan-tinggalan warisan kebudayaan yang antaranya ialah
tapak-tapak arkeologi zaman prasejarah dan protosejarah.
Tapak-tapak ini amat signifikan dalam perkembangan sejarah di negeri
Kelantan, terutamanya tapak yang terkenal SEPERTI GUA CHA DAN GUA CHAWAS YANG
MENONJOLKAN ARTIFAK YANG MEMBENTUK KRONOLOGI SEJARAH AWAL NEGERI KELANTAN.
Fungsi utama Gua Cha ini adalah sebagai tempat perkuburan
masyarakat Hoabinhian dan juga Neolitik sejak 12,000 hingga 13,000 ribu tahun
yang lalu.
Sebuah lagi gua yang mempunyai fungsi yang sama, iaitu tapak
perkuburan, ialah Gua Peraling yang terletak berhadapan dengan Sungai Perias.
Gua Jaya dan Gua Chawan yang terletak di pertemuan antara Sungai
Jenera dan Sungai Nenggiri digunakan sebagai tempat untuk menghasilkan alat
batu Hoabinhian manakala di Gua Jaya telah ditemui beribu-ribu serpihan
tembikar tanah yang digunakan untuk memasak, menyimpan makanan atau menyimpan
air bersih.
Tapak yang paling penting di lembangan Sungai Nenggiri ialah Gua
Cha yang telah pun didaftarkan dalam Daftar Warisan di bawah nombor pendaftaran
GUA CHA P.U. (B)292 16 Jun 2016
Pendaftaran ini membolehkan Gua Cha dilindungkan di bawah Akta
Warisan Kebangsaan 2005 dan Pelan Pemeliharaan Gua Cha (yang seharusnya
meliputi kawasan Zon Teras dan juga Zon Penampan) mencegah sebarang aktiviti
pembangunan di kawasan tersebut'.
Petikan di atas saya ambil sepenuhnya dari muka 27 Ringkasan
Eksekutif UKM Pakarunding itu.
Apa pula cadangan UKM Pakarunding mengenai hal ini?
Antara lain UKM Pakarunding mencadangkan seperti berikut :
• 'Semasa aktiviti kuari dan pembalakan, ada kemungkinan
tapak-tapak Neolitik yang terletak berhampitan sungai atau muara sungai akan
ditemui.
• Aktiviti ini akan memusnahkan tapak-tapak arkeologi tersebut
jika tiada pemantauan berterusan ketika kerja-kerja ini dilakukan.
• Sebarang aktiviti kuari yang melibatkan bukit-bukit yang
mempunyai gua seharusnya dilaporkan terlebih dahulu kepada pakar arkeologi. Ini
adalah untuk memastikan sama ada gua tersebut mempunyai potensi arkeologi
ataupun tidak.
• Langkah-langkah mitigasi yang boleh dilakukan adalah
pemantauan berterusan terhadap kemungkinan terbongkarnya tapak arkeologi
terbuka di kawasan pembalakan dan aktiviti kuari.
(Ringkasan Eksekutif UKM Pakarunding Projek Empangan Nenggiri -
muka surat 28)
Cadangan-cadangan ini sangat mustahak dipatuhi. Kecuali kita
lebih mundur dari manusia zaman gua. Mereka mungkin lebih memahami nilai
sejarah dengan meninggalkan lukisan-lukisan kuno di dinding-dinding gua di
sini.
Pertanyaan kita sekarang : APA PERSIAPAN TNB, KERAJAAN KELANTAN,
JABATAN WARISAN NEGARA DAN KEMENTERIAN PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA UNTUK
MEMATUHI CADANGAN PAKAR RUNDING INI?
Bersambung InsyaAllah.
Husam Musa
14 Jun 2022