HASNI TIDAK JADI MB, PERWAKILAN PAU HARUS TUNTUT PENJELASAN ZAHID HAMIDI

 

Walaupun isu Menteri Besar Johor boleh dikata sudah selesai berikutan Onn Hafiz Ghazi telah sempurna mengangkat sumpah semalam, tetapi di sudut UMNO, ianya belum lagi dikira berakhir.

Tambahan lagi, perkara itu berlaku menjelang Perhimpunan Agung yang bermula hari ini.

Dalam keadaan penat berkempen belum lagi hilang dan tiba-tiba dikejutkan dengan “poster boy” BN, Hasni Mohamad tidak berjaya diangkat sebagai Menteri Besar sebagaimana yang dijanjikan kepada pengundi, maruah UMNO sebenarnya sedang dipertikaikan di merata-rata.

Tidak mustahil ini juga menyebabkan UMNO tidak lagi dipercayai untuk terus diberikan undi kerana dianggap telah mungkir janji.

Untuk itu, dalam PAU kali ini, perwakilan berhak untuk mendapat jawapan yang sebenar daripada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi mengenai isu tersebut.

Perwakilan yang diberi mandat untuk berucap berhak dan harus mendesak Zahid Hamidi untuk berterus-terang mengapa tiba-tiba Hasni tidak diterima meneruskan tanggungjawabnya menerajui kerajaan Johor.

Meskipun difahami kata akhir perlantikan Menteri Besar adalah di pihak istana, namun perwakilan harus dijelaskan mengapa dan sebab apa Hasni tidak direstui.

Tidak mungkin pihak istana saja-saja dan tanpa sebab tidak mahukan Hasni lagi.

Apakah kesalahan dan kelemahan Hasni selama ini?

Selain itu, perwakilan PAU juga perlu mengetahui dan diberitahu sejauh mana Presiden UMNO telah berusaha untuk meyakinkan pihak istana agar menerima Hasni sebagai Menteri Besar kerana ia merupakan janji dan ikrar parti yang telah memenangi pilihan raya.

Dengan BN memenangi PRN Johor bersama Hasni yang diletakkan sebagai “poster boy”, ia bermakna kemenangan itu adalah kemahuan serta mandat yang telah dizahirkan oleh rakyat.

Sesuai dengan amalan demokrasi berparlimen yang menjadi amalan negara, selain mandat rakyat itu harus dihormati, pihak yang memperolehi mandat juga semestinya mempunyai kemampuan serta kewibawan untuk meyakinkan pihak istana agar menerima mandat tersebut.

Jika tidak, ia adalah kegagalan UMNO sendiri sebagai sebuah parti politik yang mempertaruhkan dirinya dengan penat lelah untuk memperolehi sokongan serta mandat rakyat.

Sebab itu, terutama perwakilan Pemuda khususnya, mereka harus memperlihatkan keberanian dan tidak segan-segan untuk melakukan desakan yang benar-benar mampu membuatkan Zahid Hamidi memberi jawapan serta penjelasan sebenar mengenai isu Menteri Besar Johor itu demi masa depan UMNO itu sendiri.

Hanya penjelasan Zahid Hamidi, itu pun jika penjelasannya benar-benar berwibawa dan meyakinkan, yang akhirnya mampu memulihkan semangat ahli-ahli UMNO untuk kembali segar meneruskan perjuangan bagi memenangi pilihanraya. – ShahbudinHusin 16/03/2022.



No comments: