HENTIKAN MENGHINA DAN PEMBUNUHAN KAREKTOR KE ATAS RAFIZI RAMLI

 

ZAIDI AHMAD

Pekan

15 Mac 2022

HENTIKAN MENGHINA DAN PEMBUNUHAN KAREKTOR KE ATAS RAFIZI RAMLI

Ramai yang marah Rafizi mengapa tidak membantu pertahan parti semasa "langkah Sheraton" dilaksanakan oleh Azmin, Kartel dan Bersatu.

Ramai juga yang mencemuh Rafizi mengapa ambil tindakan "berehat" tatkala parti dalam kesusahan.

Malah ramai yang menghina Rafizi kerana tidak membantu parti menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah,, Melaka, Sarawak dan yang terbaru, Johor.

Jawapan saya kepada 3 persoalan di atas adalah seperti berikut:

Langkah Sheraton & Rampasan Kuasa:

Tidak ramai yang mengetahui apabila berlaku Langkah Sheraton, Rafizi tampil untuk membantu menyelamatkan Kerajaan PH, namun beliau kemudian berundur kerana tidak bersetuju apabila ada pihak berstatus pimpinan di dalam parti yang masih berunding dengan pimpinan Umno waktu itu.

Tindakan berunding dengan Umno adalah langkah paling terkebelakang buruk dan bahaya dalam usaha menyelamatkan Kerajaan PH. Sangat menghairankan kerana mereka yang berkedudukan sebagai pimpinan parti masih percaya kepada janji-janji Umno. Lebih 20 tahun usaha menjatuhkan Umno menjadi sia-sia apabila perundingan dengan mereka menjadi naratif utama mempertahan kuasa.

Ingatlah, Umno tidak boleh dipercayai selamanya.

Betulkah Rafizi "Berehat" Tatkala Parti Dalam Kesusahan?

Ini salah sama sekali.

Rafizi tidak berehat ketika parti dalam kesusahan. Rafizi meletakkan jawatan selaku Naib Presiden (yang dilantik) pada bulan Oktober 2019 tatkala KEADILAN sedang menjadi Kerajaan Persekutuan dan beberapa Kerajaan Negeri bersama PH Plus.

Maknanya Rafizi letak jawatan sewaktu KEADILAN berada di puncak kegemilangan sebagai parti terbesar di dalam koalasi PH Plus dengan ramai Ahli Parlimen menjadi Menteri dan Timbalan Menteri. Malah dua orang ADUN KEADILAN diangkat menjadi Menteri Besar (Selangor & Negeri Sembilan). Ramai juga ADUN KEADILAN yang diangkat menjadi EXCO Negeri waktu itu.

Perletakkan jawatan sewaktu KEADILAN gemilang berada di puncak kuasa menunjukkan Rafizi seorang yang tidak tamak kepada jawatan dan pangkat.

Beliau berusaha keras siang dan malam selama 3 tahun sebelum PRU14 untuk memenangkan KEADILAN dan PH. Daripada sejumlah 44 Parlimen yang dipertanggungjawabkan penuh kepadanya, KEADILAN & PH menang 42 kerusi dan hanya tewas 2 kerusi.

Siang dan malam beliau membongkar kejahatan Umno, BN, Najib dan Rosmah sehingga dirinya di hadap ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara. Ini menghalang beliau daripada bertanding dalam PRU14.

Mengapa Rafizi Tidak Membantu Parti Dalam PRN Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor?

Jawapannya berkait dengan persoalan pertama iaitu beliau telah meletakkan jawatan.

Semasa Rafizi "berehat" wajarlah pemimpin-pemimpin lain yang selama ini mengaku sangat setia dan sentiasa membantu Presiden tampil menonjolkan kewibawaan masing-masing.

Pemimpin-pemimpin ini sewajibnya mengemukakan idea-idea bernas untuk memenangi keempat-empat PRN tersebut. Turun ke seluruh pelusuk negeri-negeri tersebut mengetuai kempen. Menyusun jentera dan gerak kerja.

Ketiadaan sosok Rafizi di dalam PRN Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor harus membuka ruang kepada pemimpin-pemimpin yang ada bangkit membantu Presiden.

Namun apa yang nyata hanya Presiden, Kak Wan dan Nurul Izzah yang tampil dan bekerja keras.

Di mana pemimpin-pemimpin lain? Hanya tampil sekali sekala sambil bertanya soalan "di mana tempat makan yang sedap". Paling ramai ialah "membontoti" ke mana Presiden, Kak Wan dan Nurul Izzah pergi berkempen sambil cuba menyelit mencari ruang untuk berucap.

Inilah realiti yang berlaku.

Rafizi Kembali Ke Gelanggang Politik.

Keputusan Rafizi untuk kembali ke gelanggang politik diambil ketika KEADILAN dan PH berada di tahap yang kritikal. Kalah 4 PRN dengan Melaka dan Sarawak tidak menang walau satu kerusi pun. Manakala Johor hanya menang 1 kerusi daripada 20 yang ditandingi.

Ini menunjukkan bahawa Rafizi bukan "pergi ketika susah datang ketika senang"

Sebaliknya Rafizi "pergi ketika parti dalam kesenangan dan datang kembali ketika parti dalam kesusahan".

Keputusan bertanding jawatan Timbalan Presiden oleh Rafizi sepatutnya diraikan. Ini proses demokrasi di dalam parti. Tiada yang menyalahi dan perlu dibimbangkan.

Sesiapa yang layak silalah tampil mengemukakan pencalonan. Bertandinglah dengan profesional dan semangat persaudaraan. Tegurlah dengan berhemah. Jauhkan menghina dengan tujuan membunuh karektor.

Raikan perbedaan. Berhujahlah dengan fakta.

Selamat bertanding pemilihan parti.