Seleweng dana 1MDB: FBI dedah Jho Low curi RM5.98 bilion, Najib dapat RM3.2 bilion

 

Seleweng dana 1MDB: FBI dedah Jho Low curi RM5.98 bilion, Najib dapat RM3.2 bilion

Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low didakwa mencuri AS$1.42 bilion (RM5.98 bilion) daripada tiga transaksi bon yang diatur oleh bank pelaburan, Goldman Sachs untuk dana kekayaan Malaysia.

Perkara itu didedahkan ejen Biro Penyiasatan Pusat (FBI), Erin Van Dorn ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes melibatkan bekas pegawai bank Goldman, Roger Ng yang didakwa bersubahat dalam penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, New York di Amerika Syarikat (AS) pada Isnin.

Menerusi keterangan tambahannya tentang dalang skandal 1MDB itu, beliau juga memberitahu juri bahawa bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak mengaut AS$756 juta (RM3.2 bilion) daripada AS$6.5 bilion (RM27.4 bilion) yang diperoleh dalam tawaran bon manakala anak tirinya, Riza Aziz yang juga sahabat Jho Low meraih AS$238 juta (RM1.01 bilion).

“Ng juga menerima AS$35.1 juta (RM147.7 juta) melalui dua daripada tiga transaksi bon tersebut manakala bekas bosnya, Tim Leissner memperoleh AS$73.4 juta (RM308 juta),” ujarnya.

Van Dorn yang merupakan akauntan forensik untuk FBI menjelaskan beliau menyemak 59,000 rekod bank untuk menentukan aliran wang daripada tiga urus niaga 1MDB.

Hasil pemeriksaannya mendapati bekas Pengarah Urusan International Petroleum Investment (IPIC), Khadem al-Qubaisi yang menjamin transaksi 1MDB juga menerima AS$472.8 juta (RM1.9 bilion).

“Seorang lagi pegawai di Abu Dhabi yang bekerja dengan anak syarikat IPIC meraih AS$76.6 juta (RM322 juta). Semakan yang dibuat turut mendapati Riza melabur kira-kira AS$60 juta (RM252 juta) daripada wang 1MDB yang miliknya untuk menerbitkan filem The Wolf of Wall Street yang dibintangi Leonardo Dicaprio,” katanya kepada pendakwa raya.

Sebelum ini, Riza pernah terlibat dalam dua kes penyelesaian saman dikemukakan Jabatan Kehakiman AS berhubung peranannya dalam skandal 1MDB.

Pada 2017, syarikat produksi Hollywood miliknya, Red Granite Inc bersetuju untuk membayar AS$60 juta (RM252 juta) untuk dakwaan filem The Wolf of Wall Street dibiayai hasil wang dicuri daripada 1MDB dan disusuli dengan penyelesaian saman berasingan berhubung persetujuannya untuk menggugurkan tuntutan terhadap hartanah di AS dan Britain yang bernilai puluhan juta dolar tanpa mengaku bersalah.

Leissner yang tampil sebagai saksi utama kes tersebut dan membuat pengakuan bersalah pada 2018 turut mencuri tumpuan apabila dia mengaku melakukan ‘banyak penipuan’ untuk kepentingan peribadinya malah pasukan pembelaan Ng percaya anak guam mereka telah dijadikan sebagai ‘kambing hitam’ dalam skandal tersebut.

Pendakwa raya juga telah sekian lama percaya Jho Low memberi suapan kepada pegawai di Malaysia dan Abu Dhabi untuk melancarkan urusan transaksi tersebut, namun keterangan Van Dorn adalah yang pertama kali memperincikan jumlah ‘bayaran’ yang diterima individu terlibat dalam skandal 1MDB berkenaan.


No comments: