'Rafizi dialu alukan tetapi jalan di hadapan sukar'








Kepulangan mantan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli ke arena politik dan bertanding jawatan Timbalan Presiden dialu alukan oleh keluarga besar KEADILAN.


Namun menurut Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yew Kew, perjalanan politik Rafizi kali ini agak sukar berikutan pengaruh parti yang kelihatan merosot berbanding ketika beliau mula 'bercuti' dahulu.


"Rakyat berharap dapat melihat pemimpin baru yang dapat memulihkan keadaan negara, ahli-ahli parti berharap melihat pemimpin-pemimpin baru yang dapat membawa parti keluar dari pelosok kemerosotan sekarang.


"Kepada Rafizi Ramli, saya memberi ucap selamat seikhlas hati atas kembali aktif dalam politik.


"Walau bagaimanapun, saya memberi amaran bahawa jalan yang dipilih ini, jalan yang sukar dan dia mesti kuat untuk menyelesaikan perjalanan ini," kata Dr Tan.

Description: https://static.wixstatic.com/media/4449e2_cfae9f86ebaf45f9a5aef8f8e378fb15~mv2.jpg/v1/fit/w_300,h_207,al_c,q_20,enc_auto/file.jpg

Dr Tan beri sokongan kepada Rafizi dalam kes Bafia


Menurut beliau lagi, keputusan Rafizi untuk sekali lagi berjuang mengangkat martabat parti dan martabat rakyat marhaen memang dinanti nantikan


Apatah lagi, katanya, Naib Presiden KEADILAN itu memilih untuk bercuti ketika parti dan kerajaan berada di puncak populariti dan kembali berjuang pada waktu yang sukar.


"Selepas tiga tahun menyepi daripada arena politik, Rafizi mengumumkan kepulangannya. Hakikatnya beliau tidak pernah meninggalkan politik mahupun parti.


"Pada satu ketika sokongan terhadap Tun Mahathir dalam PH amat luar biasa, beliau memilih untuk tidak berkonfrontasi dan tidak mengambil bahagian sebagai cara menangani situasi tersebut.


"Dia membenarkan masa untuk membuktikan caturan politiknya tepat," katanya.


Justeru, menurut Dr Tan tanggungjawab Rafizi pada kali ini jauh lebih besar daripada ketika mana beliau mula menceburi perjuangan KEADILAN suatu masa dahulu.


"Untuk persediaan tanggungjawab yang lebih besar, anda perlu mempamerkan kesabaran yang utuh dan lebih bersedia dalam menerima perbezaan.


"Bak kata pepatah Cina, "Laut menjadi hebat apabila beribu-ribu sungai mengalir ke dalamnya"," katanya.


Tegas Dr Tan lagi, perjuangan rakyat pada waktu ini memerlukan gabungan tenaga dari semua sektor untuk berjaya dan dikagumi.