MUDA tak akan tanding kerusi PKR di Johor, kata Syed Saddiq

 


Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerusi yang ditandingi MUDA
 adalah kerusi Umno dan Bersatu kerana mahu memastikan parti itu
 membawa perubahan jangka masa panjang. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: MUDA mengesahkan tidak akan bertanding di kerusi ditandingi pembangkang termasuk PKR pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, kata Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan bagi membawa perubahan jangka masa panjang kepada rakyat.

“Saya lihat kenyataan Presiden PKR Anwar Ibrahim, dengan beliau umumkan 20 calon. Komitmen saya sebagai Presiden MUDA memastikan MUDA tak akan bertanding di kerusi yang ditandingi PKR dan pembangkang lain.

“Kalau lihat kerusi yang MUDA tandingi adalah di kerusi Umno dan Bersatu kerana nak pastikan kita bawa perubahan jangka masa panjang bukan sekadar PRN,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan tiga calon MUDA bagi PRN Johor hari ini.

Beliau sebelum itu ditanya berkaitan rundingan bersama PKR selepas parti itu mengumumkan semua 20 calon akan bertanding pada PRN Johor, 12 Mac ini.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, calon MUDA akan sedaya upaya membantu calon pembangkang lain serta terbuka kepada bekerjasama dengan parti pembangkang yang mempunyai aspirasi sama, iaitu mengangkat martabat negara.

“Kita mahukan pembangkang menang, mahu perubahan Johor untuk berhentikan politik domino, iaitu satu persatu kerajaan (negeri) dibubarkan. Tak ada kestabilan politik langsung, kucar kacir, rakyat diheret ke ‘hyper politicianship’ tak habis-habis.

“Ada kata lepas ni (bubar) Kedah, Perak dan Sabah. Bila nak berhenti. Sebab itu MUDA akan cuba sebaik mungkin bawa tawaran baharu kepada rakyat dan akan kerjasama dengan sesiapa yang ada aspirasi yang sama untuk angkat martabat Malaysia yang berbilang bangsa, fokus politik, dasar, nilai dan politik baharu,” katanya.

Syed Saddiq turut mengesahkan parti itu akan menggunakan logo sendiri pada PRN itu kerana ia merupakan pilihan raya pertama yang ditandingi MUDA.

“MUDA buat ketetapan akan guna logo sendiri dan keluar tawaran kepada anak Johor dalam tempoh terdekat,” katanya.

Dalam pengumuman yang turut disiarkan di Facebook hari ini, MUDA mengumumkan tiga calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Bukit Kepong dan Bukit Permai.

Dua ahli Jawatankuasa Eksekutif MUDA, Lim Wei Jiet dan Nurafiqah M Zulkifli, masing-masing akan bertanding di DUN Tenang dan Bukit Kepong manakala Pengerusi MUDA Johor Azrol Rahani di DUN Bukit Permai.

MUDA sebelum ini mengumumkan calonnya yang akan bertanding di DUN Puteri Wangsa menjadikan jumlah calon sudah diumumkan setakat ini empat orang.