Rundingan kerusi: PKR masih tunggu respons MUDA, kata Anwar
PETALING JAYA: Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata, parti itu masih menunggu maklum balas MUDA berhubung rundingan pengagihan kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, PKR akan membantu MUDA memenangi kerusi yang ditandinginya di Johor, jika parti baharu itu boleh mengikut semangat manifesto sama dan menyelesaikan isu yang timbul dalam rundingan mereka.
“Saya tidak ada masalah untuk bersama-sama pastikan calon MUDA turut menang dalam pilihan raya ini.
“Jadi, kita tunggu respons mereka dan saya percaya akan positif kerana kita tanpa semangat begini, kita mudah diperalatkan oleh orang lain,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran jentera PRN PKR di Skudai malam ini.
Semalam, Ketua PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dilaporkan berkata, beliau menganggap rundingan bersama MUDA sudah selesai dan kini masa untuk PKR memfokuskan semua 20 calon yang diumumkan.
Ini kerana, katanya, MUDA sudah diberikan tempoh 48 jam, tetapi tiada jawapan dan maklum balas diterima menyebabkan PKR terpaksa mengumumkan semua calon yang ditentukan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, hubungan dengan DAP dan Amanah tidak terjejas disebabkan penggunaan logo parti masing-masing dalam PRN Johor.
Katanya, PKR akan tetap membantu parti komponen PH untuk menang di Johor.
“Hubungan baik antara kita, DAP dan Amanah, mesti dipertahankan walaupun kita kekalkan logo kita dan oleh demikian kita bertanggungjawab membantu rakan-rakan kita dalam PH untuk bersama mencatat kemenangan.”