Kestabilan BN untuk ambil tanah, saham, bukan bela rakyat - Anwar


 Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagaimana dikatakan pemimpin BN, terpaksa dibuat untuk menjamin kestabilan politik.


Namun Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanya, untuk apa kestabilan tersebut bagi BN atau PN. Adakah untuk membantu atau membela rakyat.


"Apa yang nak dibanggakan oleh BN dan PN. Yang riuh rendah kestabilan ini apa? Stabil untuk apa? Senang ambil tanah? Atau dapat saham? Stabil ini (sebenarnya) untuk memastikan nasib rakyat terbela. 60 tahun stabil tetapi tidak pun menjamin keselesaan hidup rakyat. Stabil ini jangan mengelirukan.


"Bicara soal perpaduan, kesatuan umat, perpaduan rakyat, mesti bersatu tetapi untuk apa? Bersatu untuk keselesaan rakyat. Bukan turun temurun punggah kekayaan.


"Pandoara Papers senarainya macam mana? Waktu itu (politik) stabil tetapi digunakan untuk punggah kekayaan, bukan sedikit berbilion," katanya dalam majlis pelancaran jentera pilihan raya KEADILAN, malam tadi.


Justeru Anwar berkata, BN dan PN sangat takut sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang. Kebusukan mereka akan terdedah tanpa memilih bulu dan akan dihadapkan ke mahkamah.


"Mereka takut kepada kita kerana (jika menang) Pandora Papers akan dibuka. Kerosakan sistem (didedahkan).


"Sebut perbankan, kalau bank diurus dengan baik dan Bank Negara ada integriti tak mungkin (skandal) 1MDB boleh berlaku.


"Kalau siasatan polis atau SPRM telus dan bebas tak mungkin skandal 1MDB terjadi. Badan kehakiman sampai hari ini pun ada masalah," katanya mengambil contoh percubaan Presiden Umno yang mahu menyelesaikan kes pecah amanahnya sebagaimana diceritakan oleh bekas PM Mahiaddin Yassin baru baru ini.


Mengenai isu kempen KEADILAN pula, Anwar menegaskan hal hal pembelaan rakyat harus diutamakan.


Katanya, tiada perbandingan yang menunjukkan era pemerintahan BN dan PN lebih baik berbanding PH.


"Apakah sejak kamu perintah boleh kawal harga barang, apakah kawal rasuah tidak merebak? Apakah kamu perintah peluang pekerjaan bertambah, mutu pendidikan, kesihatan lebih baik? Tak ada.


"Isu dalam kempen saya nak tegaskan tidak boleh lari dari isu rakyat. Sebut stabil dan bersatu, kita mahu kestabilan dan bersatu untuk bela rakyat," katanya.


Sementara itu, Pengerusi PH itu turut menegaskan hubungan antara sesama parti komponen adalah baik, malah hubungan dengan rakan baharu, Muda juga akan menjadi baik sekiranya mengikut disiplin PH.



"KEADILAN perlu balik kepada asas perjuangan, kembali ke landasan untuk merobah masyarakat. Dengan logo KEADILAN tidak sedikit pun menjejas hubungan baik kita dengan DAP dan Amanah.


"Memang ada rundingan awal pembahagian kerusi, dan inilah kali pertama, kenyataan saya, belum pernah kita capai persetujuan dengan tiga parti (begitu mudah) seperti mana berlaku di Johor.


"Hubungan baik kita dengan DAP dan Amanah perlu dikekalkan dan kita bantu rakan rakan kita untuk mencatat kemenangan.


"Sekiranya Muda ikut semangat yang sama, dan selesaikan masalah perundingan seperti sebelum ini, saya tidak ada masalah untuk bersama sama dalam pilihan raya," katanya lagi.