Loh menang permohonan habeas corpus untuk hak jagaan 3 anak

 


Loh menang permohonan habeas corpus untuk hak jagaan 3 anak






KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan habeas corpus ibu tunggal Loh Siew Hong untuk mendapatkan semula hak penjagaan tiga anaknya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Loh dan peguam yang mewakili ustazah Nazirah Nanthakumari Abdullah.

“Ia (perintah mahkamah) tidak sepatutnya dilayan secara menghukum,” katanya.

Loh menangis selepas mendengar keputusan itu.

Beliau sebelum ini memfailkan permohonan habeas corpus untuk mendapatkan semula anak perempuan kembarnya berusia 14 tahun dan anak lelaki berusia 10 tahun yang berada bawah jagaan pihak lain.

Tegasnya, beliau mendapat perintah Mahkamah Sivil bahawa beliau mempunyai hak penjagaan dan kawalan ke atas ketiga-tiga anaknya itu.

Loh berkata, dia mendapat tahu bahawa anak-anaknya diletakkan di bawah jagaan Nazirah dan mendakwa Nazirah enggan membenarkannya bertemu dengan mereka.

Terdahulu, peguamnya, A Srimurugan, memberitahu mahkamah bahawa kes berkenaan “menyedihkan” kerana ibu tunggal itu telah dipisahkan daripada anak-anak.

“Ini adalah seorang ibu dalam keadaan tertekan. Buat masa ini, dia tidak boleh mendekati anak-anaknya. Ia adalah layanan tidak berperikemanusiaan,” katanya sambil menunjuk ke arah kanak-kanak terbabit yang hadir di bilik saksi di mahkamah.

Srimurugan menegaskan bahawa kes Loh “tiada kaitan dengan agama”.

“Kami tidak tahu apa motif (individu yang didakwa menahan kanak-kanak itu secara haram),” katanya.

Peguam Aidil Khalid yang mewakili Nazirah berhujah bahawa permohonan habeas corpus Loh yang menamakan ustazah itu sebagai responden bersama bersifat akademik kerana kanak-kanak itu tidak lagi bersamanya.

Beliau berkata, kanak-kanak itu kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan telah dipersetujui oleh Loh.

“Dalam afidavitnya, dia menyatakan bagaimana dia dapat tahu (keberadaan) kanak-kanak itu. Dia tidak mempunyai hak penjagaan dan kawalan ke atas mereka kerana hanya berjumpa dengan kanak-kanak itu semasa cuti sekolah.

“Apabila bapa hilang, dia (Nazirah) mengambil tanggungjawab menjaga mereka. Mereka tidak boleh mengatakan dia menahan kanak-kanak itu secara haram,” kata Aidil.

Beliau juga bersetuju bahawa kes itu tidak boleh dikaitkan dengan agama.

“Bagaimanapun, saya mahu memperbetulkan keadaan bagi pihak Nazirah. Pemohon mendakwa ada percubaan untuk menukar agama anak-anaknya.”

“Mereka dikatakan telah menukar agama pada Julai 2020 tetapi dia (Loh) mendapat hak penjagaan penuh anak-anaknya pada 2021 dan Nazirah tidak tahu,” katanya.


No comments: