1. Saya ada terbaca kenyataan PAS Kawasan Permatang Pauh yang
disiarkan oleh lidah rasmi PAS Harakah bertajuk “YB Pmtg Pasir buktikan diri
boneka DAP” di pautan https://harakahdaily.net/.../yb-pmtg-pasir-buktikan-diri.../
berhubung kenyataan saya berkaitan isu kontroversi penjagaan anak melibatkan Pn
Loh Siew Hong. Saya menegaskan bahawa kenyataan oleh PAS tersebut adalah fitnah
dan berniat jahat.
2. Ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa kenyataan saya pada 16
Februari lalu adalah bagi memberikan pandangan undang-undang hari ini bahawa penukaran
agama bagi kanak-kanak bawah umur 18 tahun memerlukan kebenaran kedua-dua pihak
iaitu ibu dan bapa. Oleh itu, penukaran satu pihak oleh ibu atau bapa
(unilateral conversion) tidak dibenarkan dan boleh dibatalkan oleh mahkamah. Di
mana salahnya kenyataan tersebut?
3. Saya ingin bertanya kembali, apa salahnya saya menyatakan
maksud ayat al-Quran bahawa tiada paksaan dalam agama (Surah Al-Baqarah:256)?
Saya menegaskan bahawa saya tidak pernah sama ada melalui mulut, jari atau hati
menyokong mana-mana orang Islam dimurtadkan. Justeru itu, PAS diingatkan agar
tidak memutar-belit (spin) kenyataan saya semata-mata untuk maraih sokongan
politik murahan.
4. Saya tetap berpendirian bahawa keislaman anak-anak tersebut
perlu dipertahankan. Seharusnya, pihak berkuasa berunding secara baik dengan
ibu mereka dan menawarkan khidmat kebajikan supaya isu ini tidak diapi-apikan
dan keislaman mereka terpelihara walaupun dijaga oleh ibu mereka berdasarkan
Perintah Mahkamah. Adalah menyedihkan jika keislaman mereka dibatalkan oleh
mahkamah, dan jika ini berlaku, siapa yang harus dipersalahkan?
5. Nabi Muhammad SAW telah menunjukkan contoh teladan terbaik
melalui tutur bahasa yang baik dan rundingan damai dapat mengharmonikan keadaan
dan menguntungkan Islam. Sirah perjanjian Hudaibiyah banyak hikmahnya jika kita
bijak menilai dan memahaminya kerana struktur sosial Malaysia yang berbilang
agama dan kaum (majmuk).
6. Saya menegaskan sekali lagi bahawa kenyataan saya bukan
bersifat politik. Politik nilai dan khidmat serta agenda keadilan sosial dan
demokrasi yang saya perjuangkan akan menjadi pertimbangan rakyat untuk
menyokong saya. Saya tidak memilih agenda politik sentimen murahan seperti PAS
untuk meraih sokongan rakyat pelbagai kaum.
Faiz Fadzil
28 Februari 2022