Kenyataan Media
28 Februari 2022
Saya telah mengemukakan suatu usul kepada Yang di-Pertua Dewan
Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat
Dewan Rakyat seperti berikut:
"Bahawa Dewan yang bersidang pada hari ini membincangkan
pembongkaran melalui keterangan mantan Pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia
Tenggara, Tim Leissner di Mahkamah Amerika Syarikat mengenai amalan rasuah,
salah guna kuasa dan penyelewengan institusi Malaysia khasnya Bank Negara
Malaysia berentetan daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB)”.
Ini adalah perkara yang memerlukan perhatian dan perbahasan
terperinci serta menyeluruh di Dewan Rakyat kerana melibatkan kepentingan orang
ramai.
Ia juga perlu disegerakan kerana pembongkaran kes terkini
terdedah ke peringkat antarabangsa dan memerlukan penjelasan segera kerajaan
berikutan kegagalan agensi penguatkuasa negara khasnya Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan, menyiasat dan mendakwa mana-mana warganegara
Malaysia jika terbabit dalam apa-apa kesalahan transaksi kewangan tersebut.
Saya berharap usul ini mendapat pertimbangan sewajarnya dari
Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
ANWAR IBRAHIM