KALAHNYA UMNO/PN LEBIH BAIK UNTUK NEGARA?BUKAN UNTUK KESTABILAN NEGARA INI


 Sejak dulu dan sepanjang masa, UMNO sentiasa mengatakan tindakannya mengadakan PRN Johor ialah untuk mewujudkan kestabilan di negeri itu.

Ini kerana UMNO beranggapan dengan hanya memiliki perbezaan satu kerusi dengan blok pembangkang, pentadbiran kerajaan negeri tidak mampu menjanjikan keharmonian serta kestabilan, meskipun hakikatnya tiada sesiapa dilihat mahu menjatuhkan kerajaan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Namun demikian, Bersatu dan PN sentiasa pula dicabar dan dihasut untuk menekan butang bagi menjatuhkan kerajaan.

Di sebalik Mahiaddin Md Yasin telah mengatakan pihaknya tidak akan bertindak bodoh untuk menjatuhkan kerajaan dan setelah ternampak tiada kemungkinan mereka akan menekan butang, UMNO sendiri akhirnya memohon perkenan Sultan Johor bagi membubarkan DUN.

Maka, bolehkah dikata tindakan UMNO itu untuk mewujudkan kestabilan?

Jika kita teliti satu persatu rentetan peristiwa yang berlaku di Johor, dendangan mahu mewujudkan kestabilan itu tidak lebih sebagai mainan kata-kata belaka.

Beberapa faktor dapat dilihat sebagai sebab mengapa PRN Johor diadakan.

Sebab pertama ialah kerana UMNO ingin berkuasa sendiri di Johor.

Melihat kepada sokongan rakyat yang sudah kembali pulih kepadanya, ditambah dengan kemenangan cemerlang yang dicapai dalam PRN Melaka baru-baru ini, UMNO yakin mampu berkuasa sendiri di Johor.

Jika mampu menang sebagaimana dicapai di Melaka, sekaligus mengenepikan Bersatu dan PN yang sama-sama berada dalam kerajaan negeri sebelum ini, ia tentu saja akan menjadikan UMNO berkuasa sendiri atas nama BN dan tidak lagi dengan pertolongan parti-parti lain.

Inilah dinamakan keangkuhan, masa belum cukup kuat sebelum ini sanggup saja berkongsi, tetapi bila sudah rasa cukup kuat, semuanya ingin dibolot sendiri.

Selain itu, jika berjaya di Johor selepas mencapainya di Melaka sebelum ini, ini tentu saja akan memberikan keyakinan kepada UMNO untuk menang di peringkat Parlimen pula.

Sebab kedua adalah kerana UMNO mahu terus mengukuhkan kedudukan kluster mahkamah menjelang PRU15 diadakan.

Sebab itu, dalam PRN Johor ini, bukan saja Najib Razak gigih berkempen sejak sebelum hari penamaan calon lagi, malah beliau juga diletakkan di atas pentas ketika Zahid Hamidi mengumumkan senarai calon BN, baru-baru ini.

Sekadar menjawat jawatan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, apakah wajar Najib diletakkan di atas pentas bersama-sama Presiden UMNO dan Menteri Besar Johor?

Adalah jelas dengan memberi keistimewaan kepada Najib itu ia bertujuan untuk mengistimewakan kedudukan Najib dalam UMNO melebihi kedudukan Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Sebab ketiga ialah UMNO mahu menjadikan PRN Johor sebagai lonjakan menuju PRU15.

Sama ada PRU15 akan diadakan awal atau lewat banyak bergantung kepada keputusan PRN Johor pada 12 Mac ini.

Dengan pengundian PRN Johor ialah pada 12 Mac, manakala Perhimpunan Agung UMNO 2021 bakal bermula pada 16 Mac, jika BN menang dengan bergaya, ia sudah tentu akan menyebabkan PAU2021 itu nanti dipenuhi dengan lonjakan serta desakan agar Perdana Menteri mesti mengadakan PRU15 dengan segera.

Secara tidak langsung, mendesak mengawalkan PRU15 itu adalah suatu pencerobohan kepada prerogatif Ismail Sabri selaku Perdana Menteri kerana membubarkan Parlimen adalah merupakan hak beliau menentukannya tanpa perlu ada tekanan atau desakan daripada mana-mana pihak yang lain.

Sediakah Ismail Sabri akur kepada kehendak UMNO itu, sedangkan beliau mungkin ada banyak perancangan yang ingin dilakukannya kepada negara sebelum PRU15 hendak diadakan?

Hanya jika UMNO tidak menang selesa di Johor, lebih-lebih lagi jika kalah, barulah ia akan menyebabkan desakan mengadakan PRU15 lebih awal akan terhenti dengan sendirinya.

Kesimpulannya, lebih stabilkah UMNO dan politik negara akhirnya jika BN menang di PRN Johor, lebih-lebih lagi jika menang bergaya sebagaimana di Melaka?

Atau kekalahan UMNO di Johor lebih memberi makna kepada kestabilan politik negara? – ShahbudinHusin 28/02/2022.


No comments: