BN menang pun belum tentu stabil, kata pengundi Johor

 


BN menang pun belum tentu stabil, kata pengundi Johor


Meskipun giat menggunakan tema kestabilan dalam kempen Pilihanraya Negeri Johor, rata-rata pengundi masih belum yakin kerajaan boleh stabil sekiranya Barisan Nasional menang.

Pendapat itu disuarakan Mukhlis Arifin, 34, yang merupakan pengundi di sini.

Beliau yang bakal mengundi kali kedua pada kali ini menyifatkan pergeseran dalaman Umno tidak akan reda dan menjadi punca ketidakstabilan keadaan politik hari ini.

“Pada saya, punca kepada ketidakstabilan yang berlaku pada hari ini bukan sahaja kerapuhan hubungan parti-pati yang membentuk kerajaan tetapi masalah dalaman Umno itu sendiri menjadi faktor utama ketidakstabilan”, katanya.

“Kalau kita lihat sebelum ini dalam kerajaan persekutuan, Tan Sri Muhyiddin jatuh, yang bergaduh adalah sesama Umno; sebab ada dua kem yang sokong Muhyiddin dan tolak Muhyiddin.

“Sesama mereka yang berpecah, kemudian timbul masalah dan keadaan politik jadi tak tentu hala sampai sekarang” jelasnya.

“Jadi apa jaminan kalau mereka menang, keadaan boleh stabil?” soalnya.

Berkongsi pandangan sama, Rohani Jamal, 45, menganggap BN sukar menterjemah kestabilan sekiranya masalah dalam Umno masih belum selesai.

“Ramai yang sebut tentang kluster mahkamah dan kumpulan penyokong Perdana Menteri yang sentiasa bersaing untuk dapatkan sokongan dan ini menujukkan dalaman Umno sendiri tak stabil” ujarnya.

“Rakyat sekarang bukan seperti dahulu, boleh telan bulat-bulat apa yang mereka kata, maklumat sentiasa sampai dan berada di hujung jari” tambahnya lagi.

Ditanya adakah Perikatan Nasional (PN) pilihan terbaik, beliau berkata kebanyakan pengundi tidak lagi terikat dengan parti untuk membuat pilihan.

“Saya rasa pengundi akan beri undi pada calon yang buat kerja, tak kisah sama ada dia dating dari parti mana atau bagsa apa; yang penting dia rajin buat kerja kita sokong tapi kalau nak kata kena sokong BN untuk stabil apa semua ni, saya tak setuju” jelasnya.

PRN Johor bakal menyaksikan seramai 2.576 juta pengundi berdaftar layak mengundi untuk memilih wakil mereka di 56 Dun dengan 28 peratus atau  749,731 daripadanya merupakan pengundi baru yang berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18.


No comments: