Terkini! Kakitangan awam tak perlu lagi jawab panggilan bos di luar waktu kerja bermula 1 Februari

 

Terkini! Kakitangan awam tak perlu lagi jawab panggilan bos di luar waktu kerja bermula 1 Februari


Kakitangan awam di Belgium tidak perlu lagi menjawab panggilan berkaitan kerja daripada majikan mereka di luar waktu bekerja bermula 1 Februari ini, lapor akhbar Daily Mail semalam.

Peraturan tersebut dinyatakan menerusi memo yang dikeluarkan oleh Menteri Perkhidmatan Awam, Petra De Sutter.

Perkara serupa dijangka turut diaplikasikan di sektor swasta manakala cadangan kerja empat hari seminggu sedang dipertimbangkan bagi menerapkan ‘perubahan budaya’ pekerjaan di Belgium.

Kakitangan hanya boleh dihubungi selepas waktu kerja sekiranya melibatkan keadaan luar biasa dan tidak dijangka serta tindakan yang tidak boleh menunggu sehingga tempoh bekerja seterusnya, jelas memo tersebut.

De Sutter berkata, perubahan itu akan membantu menangani tekanan kerja berlebihan serta keletihan terutamanya disebabkan perintah bekerja dari rumah yang menimbulkan konflik keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan sosial.

Keadaan luar biasa dan tidak dijangka yang membenarkan panggilan kerja dilakukan itu tidak diperincikan dengan jelas di bawah peraturan baharu tetapi perjanjian boleh dibuat antara pengurusan dan kakitangan atau kesatuan sekerja untuk melaksanakannya.

Jurucakap Menteri Buruh Persekutuan, Pierre-Yves Dermagne memberitahu agensi berita The Brussels Times bahawa peraturan yang sama turut diaplikasi untuk sektor swasta yang akan berkuat kuasa serentak dengan pengenalan bekerja selama empat hari seminggu.