Sebenarnya, bukanlah
susah melihat kawasan gondol yang mana pokoknya ditebang. Cuma guna aplikasi
percuma ‘Google Earth’. Terus boleh zoom ke kawasan yang menjadi fokus. Jalan
yang dibuat oleh pembalak pun boleh nampak.
Tak pakai dron pun,
boleh lihat dari gambar satelit dari rumah sahaja. Semuanya boleh dilihat
asalkan yang melihat tidak sengaja membutakan mata.
Untuk gambar terkini,
Google Earth Pro yang dulunya perlu berbayar kini boleh dimuatturun secara
percuma.
Gambar-gambar satelit
ini juga boleh dilihat dari tahun ke tahun dan menjadi bukti hutan yang
dicerahkan untuk apapun tujuannya. Semua ceruk tempat di seluruh negara dapat
dicerap dengan Google Earth.
Aplikasi ini dapat
menunjukkan aktiviti pencerahan hutan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu.
Apa yang dialami kini, bukanlah berlaku sekelip mata tetapi bermula dari
tindakan manusia sejak beberapa lama.
Macam mana nak tahu
ada pembalakan? Pembalak akan membuat jalan tanah untuk membawa balak keluar.
Tentulah dalam membina ‘jalan balak’ ini, semua pokok - tidak kira yang sudah
besar atau yang sekecil-kecilnya akan ‘dibunuh’ untuk jalan dibina bagi lori
keluar masuk.
Bila yang tinggal
hanya tanah, hujan akan membawa tanah masuk ke sungai dan ini menjadikan sungai
cetek. Maka bila air hujan banyak, air akan melimpah dan banjir pun berlaku.
Semua pokok-pokok besar dan kecil yang ditebang termasuk untuk jalan balak akan
dibawa hanyut, ‘mencekik’ sungai malah merosakkan rumah.
Bukanlah kita perlu
menjadi genius untuk faham perkara ini.
Jika dikatakan tiada
pembalakan, tentulah hairan jika balak yang dibawa sungai ketika banjir melanda
nampak leper cantik di hujungnya kesan dari mesin gergaji. Pelik juga kalau
pokok itu pandai untuk tumbang tanpa ada akar di hujung.
Alam tidak dapat
bersuara.
Tetapi alam sudah
banyak kali cuba menunjukkan semuanya kepada kita. Cuma bila mata terus dibuat
buta, bukti sebesar balakpun dibuat tidak nampak. Senang saja, nafikan semua
dan buat diam.
Benarlah bahawa bala
datang kerana dosa manusia - dosa membunuh alam, dosa bersekongkol dengan
pembunuh alam dan dosa untuk diam tatkala alam dimusnahkan.
Untuk kekayaan
segelintir manusia, puluhan malahan ratusan ribu rakyat sengsara dan ekonomi
musnah berpuluh bilion.
Rakyat yang ramai
terpaksa berkorban untuk beberapa orang menjadi teramat kaya. Mereka yang kaya
boleh berada di mana sahaja di dunia untuk berehat dan melancong, sama ada
dengan penerbangan kelas pertama mahupun jet peribadi ketika rakyat bergelut
dengan lumpur, rumah yang musnah dan perniagaan yang hancur apabila banjir
besar melanda.
Semua kerugian
terpaksa ditanggung oleh mangsa banjir. Kalaupun gantirugi datang dari
kerajaan, ia masih dari dana rakyat. Harta berbilion, beratus atau berpuluh
juta yang dikaut oleh pembalak ini sedikitpun tidak terusik untuk membayar
pampasan kerugian.
Kita sudah melihat
kerosakan mega akibat banjir. Tetapi lebih besar dari itu, adalah kerosakan mega
alam yang didiam dan dibutakan semua pandangan.
Akhirnya, kita semua
akan kena dan sengsara kerana enggan melihat apa yang alam cuba tunjukkan.
Diam dan bisu hatta
sudah merasa sengsara dari banjir dan hutan yang gondol oleh mereka yang hanya
mahu poket sendiri penuh tanpa peduli orang lain. Hanya kita yang dapat
bersuara bagi pihak alam, atas nama kasih dan cinta kepada negara supaya
selamat pada masa hadapan.
Semoga alam kita
dijaga untuk diserahkan kepada anak cucu dan cicit dalam keadaan yang baik.
Kita hanya meminjamnya setelah diserah oleh moyang untuk dijaga kini oleh kita.
X
#KepalaA