Azam Baki: AMANAH serah memorandum gesa Istana titah PM tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja

 


Parti AMANAH Negara hari ini menyerahkan memorandum kepada Istana Negara supaya menitahkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Ketua pemuda AMANAH Mohd Hasbi Muda berkata, biarpun  Azam Baki sudah menjawab dakwaan konflik kepentingan saham dikaitkan dirinya, siasatan lanjut dan terperinci oleh sebuah suruhanjaya bebas masih diperlukan bagi memastikan dakwaan terpalit ke atas beliau dapat diteliti sebaiknya.

Menurutnya,  Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) tidak boleh menentukan Azam Baki bersalah atau tidak, kerana yang menentukan adalah suruhanjaya bebas.

“Kita kena tahu di dalam LPPR Azam merupakan salah satu ahli lembaga, kalau dia di dalam LPPR dan menyiasat dirinya sendiri ia seperti keluarga 69 lah dia siasat dia untuk menentukan dia tidak bersalah,” katanya.

Selain itu, AMANAH turut meminta pihak Istana Negara mendesak Ismail Sabri mengambil tindakan merehatkan Azam Baki supaya membenarkan siasatan di buat ke atasnya dengan bebas dan telus.

Katanya, sebagai seorang penguatkuasa undang-undang di bawah agensi naungan Tuanku selaku KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong, tanggungjawab untuk membersihkan nama adalah lebih berat berbanding penjawat awam biasa.

“Sekarang ini dia pula nak saman kepada mereka yang menyebarkan maklumat, bagi saya inilah imej yang tidak baik kepada negara kita,” ujarnya.

Jelasnya, penyerahan memorandum kerana dibimbangi isu yang membabitkan Ketua SPRM ini akan menjadi bahan ketawa dalam kalangan masyarakat global.

“Kita sudah ditertawakankan dalam isu 1MDB, Langkah Sheraton dan isu katak, sekarang datang pula isu Ketua Pesuruhjaya SPRM,” kata beliau kepada media selepas serahan memorandum dibuat.

Justeru, katanya apa sahaja soal integriti yang berkait dengan Ketua SPRM akan menjejaskan imej Tuanku sendiri kerana Ketua SPRM telah mengangkat sumpah di depan Tuanku.

“Jadi isu pemilikan saham yang menggunakan adik itu ia bukan hanya tidak menjawab persoalam umum tetapi telah menimbulkan persoalan-persoalan baru kepada rakyat,” tambahnya.

Memorandum telah diterima oleh Pegawai Perhubungan Awam Istana Tuan Husni Yusof.


No comments: