PANDANGAN dan analisa Dr Mazlan Ali (berdasarkan
budaya politik tradisi di Kelantan),
yang Kelantan tetap dikuasai Pas selepas pilihan raya umum ke-15 akan datang,
hampir dipersetujui oleh semua pemerhati.
Sandaran Dr Mazlan untuk
berpandangan demikian antaranya kerana di negeri itu kekuatan pembangkang
"leweh" (lemah).
Iya, jika ditanya keadaan
di Kelantan hari ini kekuatan pembangkang (khasnya PH) langsung tidak ada,
bahkan pembangkang tidak menyerlah, situasi ini memberi peluang untuk Pas terus
menguasai negeri Tok Kenali itu.
Menurut Pensyarah Kanan
Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, meskipun prestasi Pas
di peringkat persekutuan tampak terumbang ambing, tetapi tidak di Kelantan,
namun itu tidak memberi petunjuk negeri itu akan terlepas dari genggam Pas.
Sebabnya kerana pembangkang lemah. Selebihnya Dr Mazlan turut mengambil kira
sikap kedaerahan orang Kelantan.
Memetik ulasan beliau,
faktor utama kelamahan pembangkang iaitu PH untuk memberi cabaran kepada Pas.
Memang kekuatan PH di Kelantan hari ini boleh dianggap tidur atau demam yang
belum kebah apabila ia dipimpin oleh mereka yang terkena "taun".
Sementara Umno pula masih berbelah bahagi sama ada bekerjasama dengan Pas atau
sebaliknya.
Umno Kelantan
bercemperian antara satu sama lain kerana ada yang mahu meneruskan kerajsama
dengan Pas, walaupun Pas sudah "meludahinya", dan ada yang mengambil
sikap macam pacat tidur bawah daun kering. Mereka akan bangun bila hujan dan
ada bau wap darah. Tindakan sebegitu lewat dan merugikan.
Bagaimana pun, menurut
Mazlan keadaan itu mungkin berubah sekiranya PH bekerjasama dengan Umno
untuk lawan Pas secara satu lawan satu. Pun begitu ujarnya peluang itu masih
kelam kabut, kerana Umno masih bingung kelu untuk membuat keputusan dan masih
mengimpikan Pas akan pulang semula kepada mereka setelah sudah berjalan sama
dengan Bersatu.
Apa disebut Mazlan itu
benar, tetapi masih ada sudut-sudut lain yang juga perlu diberi perhatian untuk
menjamin apakah Pas masih menguasai Kelantan selepas Piraum ke-15 atau tidak.
Misalnya sikap kedaerahan orang Kelantan tidak merupakan tikit untuk Pas
selamat. Orang Kelantan kini sudah berubah dan mula berfikiran secara
global.
Juga ada beberapa sisi
yang menjadi faktor yang mungkin tidak dinilai sama oleh Mazlan ketika membuat
andaian itu dimana beliau hanya melihat kepada kelemahan pembangkang
semata-mata, tetapi tidak merumuskan masalah atau kelemahan fatal kerajaan
Kelantan.
Seperti mana disebut
beliau, tidak ada pembangunan berimpak besar di Kelantan, seperti jalan raya
dua lorong dan sebagainya serta masih ada kepincangan dan kelemahan berterusan
Pas sebagai kerajaan Kelantan. Betul kecacatan itu sangat nyata dan jelas dan
seolah-olah kerajaan Kelantan tidak ada idea untuk menanganinya. Sebenarnya
kelemahan dan ketempangan kerajaan Kelantan bukan terbatas disitu sahaja.
Misalnya masalah sosial,
pengurusan alam sekitar yang menyumbang kemusnahan alam begitu teruk sehingga
mengakibat berlaku banjir di luar dugaan, adalah kelemahan jelas kerajaan
Kelantan. Dari segi moral sebuah kerajaan kecacatan dan masalah ini sangat
mencengkam maruah kerajaan sekaligus memalukan rakyat Kelantan khasnya yang
memangkah Pas.
Keadaan itu ditambah lagi
dengan kegagalan kerajaan Kelantan menguruskan negeri dengan menggunakan wang
royalti yang tidak pernah diperinchikan kepada rakyat. Kerajaan Kelantan telah
diberikan RM600 juta wang royalti Petroleum tetapi rakyat
tidak mengetahui ia digunakan untuk apa. Kerajaan Kelantan tidak pernah
menyebut atau memperincikan peruntukan wang itu, seolah-olah menyembunyikan
daripada pengetahuan rakyat.
Keadaan itu semua turut
memberi sumbangan untuk dilihat kegagalan kerajaan Kelantan. Apakah ada sesuatu
yang sukar untuk diperkatakan oleh kerajaan Kelantan mengenai wang royalti
Petroleum ini?
Kata kuncinya kegagalan
kerajaan Kelantan tidak boleh dilihat mudah oleh pemerhati atau diterima Pas
sendiri untuk mengakui mereka tidak akan dikritik oleh rakyat atau pun dibuang
dalam pilihan raya nanti.
Kelemahan dan kegagalan
kerajaan Kelantan memerintah dan hanya tahu "meratah" itu bakal menjadi
faktor berlaku gelombang protes rakyat kepada kerajaan Kelantan kelak. Mungkin
perkara ini tidak mendominasi keadaan waktu ini, kerana ia menjadi seperti
keladak yang terpendam di hati rakyat, dimana bila sampai masa dan ketikanya ia
akan jeluak keluar atau dimuntahkan bila sampai masanya.
Selain daripada kelemahan
kerajaan Kelantan khasnya mengenai bekalan air bersih (air paip) yang
diperkatakan bukan sahaja di luar Kelantan, tetapi di Kelantan sendiri, boleh
menjadi kesan negatif kepada kerajaan Kelantan dalam usaha mereka hendak
mengekalkan kerajaan Kelantan. Isu air bersih masih belum tuntas dan ia sudah
pasti akan didendangkan dalam pilihan raya kelak.
Perlu diingat Pas sudah
berkuasa di Kelantan selama 31 tahun atau enam penggal, tempoh
itu menyebabkan ia sedang dinilai oleh rakyat Kelantan secara rasional
dan menyeluruh. Walaupun Pas adalah parti warisan datuk nenek, tetapi generasi
cucu cicit terkemudian tidak sepandir generasi lama yang dikunci dengan dogma Pas
bagi menerima Pas sebagai parti kudus dan memiliki 47 pintu syurga.
Undi 18, juga bakal
menjadi faktor akan berlaku kejutan di Kelantan dalam Piraum akan datang.
Pengundi muda yang lebih peka kepada keperluan pembangunan dan keperluan
kehidupan kontemporari mereka mungkin tidak begitu senang dengan berbagai
peraturan syari' yang diperkenalkan oleh Pas, yang dibuat hanya sebagai
gula-gula bagi menunjukkan mereka Islami. Generasi muda yang berilmu dan
berpengetahuan tidak mudah termakan dengan umpan bernama agama dan Islam, sifat
tawaduk, zuhud dan ikhlas digunakan Pas itu.
Kebebasan sosial di
Kelantan yang dibatasi atas maslahat untuk menjaga akhlak bertentangan dengan
jiwa generasi muda yang nalurinya mahu kebebasan tanpa disekat dengan peraturan
yang direka-reka bakal diprotes. Fitrah semula jadi mereka kepada hiburan boleh
menyebabkan mereka tidak begitu tertarik dengan Pas yang dilihat rigid dan
bertentangan dengan naluri mereka.
Satu perkara lagi yang
juga perlu diberi perhatian dan wajar diperhitungkan Pas Kelantan ialah sikap
pengundi di luar Kelantan. Secara tidak rasmi terdapat kira-kira 150,000
pengundi Kelantan berada di luar. Mereka selalunya menjadi penentu kepada
kemenangan Pas apabila menyumbang 65 peratus undi kepada Pas pada setiap kali pilihan
raya. Mereka akan pulang berduyung-duyung ke Kelantan untuk mempertahankan Pas
dan menafikan kemaraan Umno.
Hari ini sudah ada
cakap-cakap atau nada kecewa diluahkan dalam kumpulan grup WhatsApp yang sudah
mempersoalkan wibawa dan keberkesanan kerajaan Pas Kelantan. Kenyataan dan cara
pemimpin Kelantan menangani sesuatu isu yang nampak dangkal dibuat secara
simplistik mula dipertikaikan oleh mereka. Ucapan dan kenyataan simplistik
pemimpin Kelantan disebar luarkan dalam medsos dan menjadi konten Titok.
Sebagai contoh kenyataan
dan jaminan ahli Parlimen Kubang Kerian Tuan Ibrahim Tuan Man yang
juga Menteri Air dan Alam Sekitar, yang berkata masalah air bersih di Kelantan
akan dapat diselesaikan 40 tahun lagi menimbulkan cemuhan dan ejekan rakyat Kelantan
khasnya berada di luar. Begitu juga dengan kenyataan ramalan tentang banjir
kononnya fenomena perubahan iklim tidak sangat membimbang.
Begitu juga dengan
persendaan Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah yang
mengatakan air Kelantan "belaka kokna" (banyak) dengan merujukkan
kepada Sungai Kelantan, dipersenda dan dicemuhi rakyat.
Kenyataan-kenyataan
sebegitu dijadikan ukuran oleh rakyat sejuahmana wibawa dan kualiti mereka
sebagai pemimpin kerajaan. Selain itu rakyat Kelantan juga sudah mula menilai
apakah fungsi pemimpin asal Kelantan untuk kebajikan rakyat dan pembangunan
negeri.
Terdapat empat ahli
Parlimen asal Kelantan berada dalam kerajaan hari ini. Mereka Mustapa
Mohamed, Annuar Musa, Takiyuddin Hassan dan Tuan
Ibrahim Tuan Man serta tiga timbalan menteri, Siti Zailah Yusof,
Marzuk Shaari dan Nik Zawawi. Dengan keberadaan mereka disitu rakyat Kelantan
sangat mengharapkan mereka dapat membantu Kelantan khas menyelesaikan apa-apa
isu dan tuntutan berbangkit yang dibuat selama ini.
Malangnya kehadiran mereka, hanya menjadi seperti garam yang
dicurah ke dalam laut sahaja, atau seperti memelihara kambing gemuk mandul.
Kuasa yang ada kepada mereka tidak memberi apa-apa dampak dan kebaikan kepada
Kelantan melainkan hanya untuk kesenangan mereka sahaja. Misalnya Mustapa
Mohamed sanggup tinggal parti lamanya (Umno) yang menaikkan darjatnya sebagai
menteri, "ungga" (lari) ke Bersatu kerana gilakan jawatan menteri.
Tetapi apakah dengan jawatan menteri dipegangnya selama ini, lebih 20 tahun,
beliau dapat sumbangkan untuk Kelantan? Nahe kabi
nahe.
Satu perkara yang sangat
dikesali rakyat Kelantan, apabila keputusan kerajaan Ismail Sabri
Yaakob telah menarik balik bayaran tunai royalti petroleum untuk
Kelantan diganti dengan wang esah, tetapi tidak dibela oleh keempat-empat
menteri itu mereka menjadi bangkai yang kian membusuk sahaja.
Senario itu semua akan
mempengaruhi selera dan menjadi titik perkiraan rakyat Kelantan khas mereka
tidak berparti dalam pilihan raya akan datang. Sekiranya mereka bertindak,
memprotes dalam pilihan raya akan datang, ia boleh menyebabkan Pas akan
dikejutkan dengan kekalahan di luar dugaan. Jangan rasa mustahil kalau Pas
tiba-tiba bertakbir di Subuh atau mendirikan solat Hajat sebelum
Asar.
Kesimpulannya dapatan
atau analisa Dr Mazlan itu bukan sesuatu yang boleh ditelan begitu sahaja oleh Pas
Kelantan dan rakyat Kelantan am yang berazam untuk melihat berlaku perubahan di
Kelantan diharap tidak terkesan dengan analisa beliau itu. Dan pendedahannya
bahawa PH Kelantan lemah dan Umno masih kelu juga perlu diberi perhatian dan
dijadikan wake-up call oleh pembangkang termasuk juga Umno.
Kita ulas dilain masa atas tajuk apa yang PH dan Umno perlu lakukan?. [sri
rampai. toyota. 9:41 am 05/01/20211]
Apa
dinyatakan