KWSP : KEPERLUAN MANUSIA YANG BERBEZA ...





Kerap juga aku tulis tentang KWSP ni. Tapi bukan sebab aku nak keluarkan duit itu. Setakat ini aku tak perlu InsyaAllah. Dan aku juga bukan ahli politik yang perlu isu begini untuk popular.

Tapi sebab aku pernah rasa peritnya tak ada duit bila dalam keadaan yang memerlukan. Sampai rasa nak pinjam ahlong. Jadi aku faham bagaimana rasa mereka yang dilanda bencana ini.

Aku lihat lepas seorang, seorang buat kenyataan tentang ini. Sedihnya, pemimpin PH yang patut faham denyut nadi rakyat, turut keluarkan kenyataan yang sama. Apa dah jadi?

Aku tak nafikan kerajaan ada beri bantuan. Tapi yang rakyat perlu sekarang ini duit tunai. Voucher dan diskaun tak memberi erti jika tiada wang tunai. Kata kuncinya wang tunai!

Dan keperluan setiap orang tak sama. Ada yang lebih utamakan barang sekolah anak. Ada yang mahu bangkit dengan mulakan perniagaan. Ada yang nak betulkan rumah.

Lain. Keperluan mereka tak sama. Nak address keperluan berbeza ini dengan satu pendekatan yang sama adalah salah. Sebab itu aku katakan hanya dengan pemberian tunai sahaja dapat membantu selesaikan masalah rakyat. Biarkan mereka uruskan sendiri ke mana duit itu hendak dibelanjakan.

Dan kena juga ingat. Rakyat bukan terjejas dengan banjir sahaja. Ada juga rakyat yang tak kena banjir tapi PKP yang dilaksanakan telah musnahkan hidup mereka dan apa yang mereka usahakan.

Mereka juga perlu dibantu. Tapi bantuan sekarang hanya tertumpu kepada mangsa banjir. Bagaimana dengan mereka ini? Haruskah mereka meminjam ahlong untuk teruskan hidup?

Betul KWSP itu untuk memastikan kehidupan yang selesa apabila pencen. Tapi adalah itu bererti yang mereka harus tersiksa sekarang, mungkin sampai terpaksa jadi gelandangan?

Masa depan mereka masih selamat jika anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran dan membela nasib mereka, InsyaAllah. Tapi kalau sekarang ini mereka nak sekolahkan anak pun jadi masalah, apa cara untuk ubah masa depan mereka?

Jangan lupa, duit KWSP itu juga untuk bantu anak mereka. Tak benarkan pengeluaran KWSP hari ini mungkin menjejaskan masa depan generasi akan datang mereka.

Adakah ini yang dimahukan oleh kerajaan dan agensi-agensi yang bodek PM termasuk juga pemimpin PH yang menyokong pemberhentian pengeluaran duit KWSP ini?

Kamu dah kaya raya, hidup senang lenang, jangan fikir semua orang hidup senang seperti kamu. Dan jangan remehkan hidup orang dengan rasakan bantuan sebesar sebutir pasir itu nampak macam gunung pada rakyat. Jangan.

Raja Gelap