Sejak isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki menjadi bualan hangat dalam negara, Abu Zahar Ujang atas kapasitinya selaku Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM adalah antara yang kerap menonjolkan dirinya.
Beliau bukan saja terlibat dalam berbalas kenyataan media dengan Edmund Terence Gomez, bekas Ahli Panel Perundingan SPRM yang meletakkan jawatan kerana tidak berpuas hati lantaran tiada tindakan diambil untuk membincangkan isu melibatkan Azam, bahkan kemudiannya turut mengadakan sidang media khas semata-mata untuk membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya SPRM itu daripada sebarang salah laku.
Bagaimanapun, sejak kenyataan beliau dalam sidang medianya yang membersihkan nama Azam itu disanggah oleh kesemua enam anggota LPPR, belum terdengar lagi beliau memberi respon balas mengenainya.
Di mana beliau sekarang ini?
Kenapa masih berdiam diri?
Bukankah hari ini sudah masuk hari ketiga sejak enam anggota LPPR mengeluarkan kenyataan media mereka pada Sabtu lalu?
Tak mahukah beliau menganggah balik kenyataan media mereka itu atau mengadakan sidang media khas sekali lagi?
Kata orang tua-tua – berani kerana benar dan takut kerana salah?
Apakah dalam diam-diam Abu Zahar sebenarnya turut bersetuju dengan kenyataan media enam anggota LPPR itu dan sedar ungkapannya dalam sidang media mempertahankan Azam sebelum ini hanyalah pendapat peribadinya semata-mata?
Jika itu yang menyebabkannya berdiam diri sehingga sekarang, terus berdiam diri bukanlah jawapannya.
Lebih baik jika beliau memberanikan diri menulis surat meletak jawatannya dengan segera.
Seperti mana Azam, nama anda juga sudah rosak dan hancur sebenarnya.
LPPR wajar diterajui tokoh lain yang intergriti dan wibawanya benar-benar bersih serta tidak tercalar. – ShahbudinHusin 10/01/2021.