ABDULLAH MAT ISA
KANTOI… Kementerian Pertahanan Kuwait menyangkal sekeras-kerasnya konon kerajaan Malaysia bakal membeli sejumlah 33 unit jet tempur milik tentera udara negara tersebut.
Penafian tegas tersebut disiarkan oleh agensi berita rasmi Kuwait (Kuna) dan menyifatkan laporan kononnya ada tawaran penjualan pesawat itu sebagai langsung tidak berasas.
“Pengerusi Staf Tentera Kuwait menerusi kenyataan media menyatakan bahawa sebarang rundingan melibatkan isu aset ketenteraan akan dibuat secara terus dan terbuka,” katanya.
Minggu lalu, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz memberitahu Dewan Negara di Parlimen konon Malaysia dalam proses memperoleh pesawat berkenaan.
Beliau mendakwa inisiatif pemerolehan jet tempur baharu model F/A-18C/D buatan Amerika Syarikat (AS) itu sedang dirunding peringkat tertinggi antara kerajaan Malaysia dan Kuwait.
Berita penafian disiarkan oleh pemerintah Kuwait itu turut mendapat liputan luas dari pelbagai media antarabangsa sekali gus memberi imej amat buruk kepada kerajaan Malaysia sendiri.
Malah ia turut tular diperkatakan warganet tempatan yang teruja apabila dilaporkan beberapa portal pertahanan serantau sambil menyifatkan ia bentuk penipuan tidak boleh dimaafkan.
Media pada 13 September lalu pernah melaporkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal menaik taraf jangka hayat armada pesawat tempur agar dapat beroperasi lebih lama.
Ia melibatkan program penambahbaikan melalui proses rutin penyelenggaraan secara berkala termasuk sejumlah lapan jet Hornet F/A-18D yang diterima pasukan itu sejak 1990-an lalu.
Bagaimanapun, Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad langsung tidak ada menyebut penggantian pesawat itu kerana ia masih lagi elok bertahan sehingga tahun 2035.
Ketika ini, jet pejuang berkenaan ditempatkan di Skuadron 18 Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang dan hanya akan digantikan dengan model baharu selepas 15 tahun kelak.
Mengulas lebih lanjut, Kementerian Pertahanan Kuwait berkata, negara tersebut tidak pernah menerima sebarang pertanyaan daripada kerajaan Malaysia untuk membeli jet tenteranya.
“Sebarang rundingan berkaitan jualan aset akan diselaraskan pihak kementerian ini dan juga Kementerian Kewangan selepas dapat kelulusan mengikut prosedur yang standard,” katanya.
Tentera Udara Kuwait hanya ada 27 pesawat F/A-18, manakala 28 buah model F/A-18 Super Hornet varian E dan F masih dalam proses pembuatan di kilang firma Boeing Defense di AS.
Justeru, Kementerian Pertahanan Kuwait dalam kenyataan itu menyifatkan dakwaan Malaysia adalah pelik kerana jumlah dibeli meliputi semua jet sedia ada dan sebilangan belum siap lagi.
Setakat ini, Kementerian Pertahanan Malaysia belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu itu meskipun sudah tular menjadi bahan jenaka para pengguna media sosial.
Namun jika benar ada penipuan fakta, Ikmal Hisham boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana memberi kenyataan mengelirukan anggota Dewan Negara.- BebasNews
* - Kenyataan yg di buat oleh timb menteri pertahanan Malaysia Sebelun dibalas oleh Kuwait Ada di ruangan Komen.