Pemuda PKR berkonvoi ke ibu pejabat SPRM, protes terhadap Azam


Salah seorang peserta yang membawa pelekat dalam konvoi protes Pemuda PKR pagi ini.

PUTRAJAYA: Kira-kira 50 ahli Pemuda PKR mengambil bahagian dalam konvoi dari Dataran Putra ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi sebagai protes terhadap Azam Baki susulan kontroversi pemilikan saham korporat membabitkannya.

Para peserta konvoi, yang menaiki 50 kenderaan, membawa pelekat yang antaranya tertera kenyataan seperti “Undur Azam” dan menyerahkan memorandum sejurus tiba di ibu pejabat SPRM.

Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir berkata, mereka mahu Ketua Pesuruhjaya SPRM itu meletakkan jawatan selain menggesa siasatan terbuka dan bebas dijalankan.

Mereka juga mahu Ismail Sabri Yaakob meletakkan SPRM bawah bidang kuasa Parlimen, bukannya Perdana Menteri, katanya.

Beliau juga berkata, Ismail perlu memanggil sidang khas Parlimen untuk membincangkan integriti agensi antirasuah itu.

“Parlimen akan bersidang pada 20 Jan untuk membincangkan banjir. Pada masa itu, beliau perlu berdepan dengan Ahli Parlimen yang akan menuntut sidang khas,” katanya.

Empat ahli  PKR yang menyertai konvoi ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Beberapa pemimpin lain, termasuk veteran DAP Lim Kit Siang, turut menggesa agar sidang khas Parlimen diadakan pada 21 Jan bagi memulihkan keyakinan orang ramai terhadap SPRM.

Azam dan SPRM mendapat kecaman selepas didedahkan bahawa beliau membenarkan adiknya membeli saham menggunakan akaun dagangannya.

Pada 5 Jan, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM Abu Zahar Ujang membersihkan nama Azam daripada sebarang salah laku, dengan berkata, Azam telah memaklumkan perkara itu kepada lembaga pengarah dan pembelian saham oleh adiknya tidak menjadi konflik kepentingan.

Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir berkata, Perdana Menteri perlu memanggil sidang Parlimen khas untuk membincangkan kontroversi membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Bagaimanapun, pada 8 Jan, enam ahli LPPR menjauhkan diri daripada kenyataan Abu Zahar, dengan mendakwa itu hanya pandangan peribadinya.

Mereka sebenarnya telah mencadangkan supaya perkara itu dirujuk kepada jawatankuasa bebas, Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah atau Jawatankuasa Aduan SPRM, kata mereka.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Ahmad Khusairi Yahaya, Norazlan Mohd Razali dan Junipah Wandi kemudian tampil menyokong Azam, dengan mendakwa beliau menjadi mangsa “politik balas dendam”.

No comments: