5 santapan kegemaran bukti P Pinang syurga makanan
PETALING JAYA: Pulau Pinang begitu banyak tarikan dan keindahannya dengan kepelbagaian makanan, budaya dan gaya hidup yang ditawarkan menjadikannya destinasi pelancongan popular kepada pengunjung tidak kira dari dalam atau luar negara.
Terletak di barat laut Semenanjung Malaysia, Pulau Mutiara ini memiliki apa saja yang diperlukan untuk percutian bersama keluarga atau rakan-rakan dengan pelbagai hidangan lazat yang pasti memuaskan selera dan cita rasa anda.
Pasti sukar untuk membuat pilihan apabila begitu banyak makanan jalanan yang menyelerakan, jadi kami kongsikan hidangan kegemaran popular yang pasti menjadikan percutian anda di pulau ini kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan.
Mi Goreng Lorong Bangkok
Beroperasi di New World Park, pemiliknya Mahboobin Zakaria yang juga fasih berbahasa Hokkien, terkenal dengan mi goreng istimewanya sejak 1970-an apabila beliau mengambil alih perniagaan daripada bapanya.
Hari ini, segala ilmu perniagaan diwarisi diturunkan pula kepada anaknya Sabik Ahamad yang kini meneruskan legasi resipi warisan keluarga itu.
Ia bukan sahaja lazat, malah proses menyiapkannya juga cukup hebat.
Mi yang kenyal digoreng dalam kuali panas sebelum dicampurkan dengan tiga jenis sos buatan sendiri. Ia kemudian ditambah pula kentang, tauhu, sotong dan taugeh – hasilnya memang tiada tandingan.
Setiap suapan pasti memuaskan dengan rasa manis, pedas dan masam yang membawa kepuasan tersendiri.
Nasi Kandar Hameediyah
Dipercayai restoran nasi kandar tertua yang ada, Hameediyah menghidangkan kari dan pelbagai lauk-pauk termasuk ayam, hidangan laut serta sayur-sayuran setiap hari sejak bertahun-tahun lalu.
Campuran rempah digunakan dalam rendang daging, biryani, murtabak, kari ayam, ayam kapitan dan dalca tidak berubah sejak lebih 100 tahun lalu.
Beroperasi sejak 1907, hidangan lazat ini satu ketika dulu dimasak secara terbuka di sebuah padang sebelum dibawa oleh pekerja menggunakan kandar, iaitu kayu yg diletakkan di bahu untuk menggalas atau memikul barang yang tergantung di kedua-dua hujungnya.
Restoran ini pernah dinobatkan sebagai restoran nasi kandar tertua di Malaysia dalam Malaysia Book of Records pada 2020.
Ais Kacang Kafe Kek Seng
Jika anda berada di Pulau Pinang, jangan lupa singgah di Restoran Kek Seng bagi menghilangkan dahaga dengan ais kacangnya yang lazat dan sememangnya merupakan sesuatu yang wajib dilakukan.
Memang banyak cara untuk menikmati pencuci mulut tradisional ini, tetapi kaedah asli dengan ais kisar, susu pekat manis dan sirap ros yang ditambah pula jeli, jagung manis, kacang merah dan cincau dengan sendirinya cukup memuaskan.
Kafe ini beroperasi sejak 1906 dan pada asalnya turut menghidangkan manisan seperti “cream puff” sebagai sajian minum lewat petang.
Bagaimanapun pada 1930-an, datuk kepada pemiliknya sekarang, Cheow Sow Lei, mula menjual ais kacang dan sejak itu ia adalah hidangan yang paling dicari-cari di kafe berkenaan.
Lebih menarik lagi, kafe ini adalah satu-satunya perniagaan yang menghidangkan ais kacang bersama jeli berperisa ros di Pulau Pinang.
Laksa Bisu
Gerai Laksa Bisu dikendalikan dua beradik, Choo Siew Choo and Choo Heng Fook yang meneruskan usaha bapa mereka yang dimulakan pada 1957.
Dua beradik itu mula menerima pesanan pelanggan dari jam 10.30 pagi. Ini bererti mereka perlu membeli bekalan keperluan masakan di Pasar Air Itam pada jam 7 pagi.
Antara bahan basah wajib termasuklah ikan kembung, pudina segar dan bunga kantan.
Kemudian kuah laksa pula perlu disiapkan, dengan tugas rumit membuang tulang ikan, menambah perisa termasuk cili dan asam dan hasilnya semangkuk asam laksa lazat yang dihidangkan bersama lapan jenis ulam-ulaman.
Char Kuey Teow Jalan Siam
Diiktiraf berada di tempat ke-14 daripada 50 hidangan oleh World Street Food Congress 2017, Char Kuey Teow Jalan Siam memang merupakan antara makanan jalanan yang kini terkenal.
Dimasak dengan menggunakan kayu api, Tan Chooi Hong, 80, atau lebih mesra digelar Uncle Tan, dan anaknya Kean Huat, 56, menawarkan char kuey teow popular mereka yang lazimnya habis dijual sebelum jam 6 petang setiap hari.
Menurut pelanggan tetapnya, char kuey teow Uncle Tan begitu berbeza disebabkan beliau menggunakan kayu api yang memberikan perisa tersendiri berbanding masakan yang menggunakan dapur gas.
Tahun lalu, kuey teow Uncle Tan diberi jolokan ‘Humble King of Noodles’ dalam rancangan BBC Travel, ‘50 Reasons to Love the World in 2021.