Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru agar kerajaan BN - PN
segera melaksanakan agenda tranformasi sebagaimana yang dipersetujui dalam
memorandum kerjasama antara Pakatan Harapan dan Kerajaan Persekutuan tahun
lalu.
Hal itu, menurut Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz kian
mendesak berikutan polemik dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang
menyaksikan pemimpin tertinggi suruhanjaya itu bertelagah pendapat menentang
anggota kerajaan mengenai dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan
Sri Azam Baki.
"ABIM menegaskan isu terbaru ini akan menghakis lagi
kepercayaan rakyat terhadap kerajaan termasuk institusi yang diamanahkan untuk
mempertahan maruah serta tatakelola yang baik dalam pentadbiran Persekutuan.
"ABIM menilai krisis kepercayaan dalam kalangan rakyat
semakin menebal kerana ia memberi kesan secara tidak langsung dalam kehidupan
mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Faisal lagi, hanya dengan menggerakkan MoU yang telah
disepakati bagi melaksanakan pembaharuan dalam sistem pemerintahan maka kemelut
yang ada sekarang akan dapat diatasi.
Pembaharuan tatakelola dan institusi Parlimen, katanya, boleh
menguraikan dakwaan ke atas SPRM dan menjadikan suruhanjaya itu diletak secara
langsung di bawah Parlimen, bukan lagi Perdana Menteri.
"Transformasi ini secara khusus merujuk kepada memperkasa
institusi Parlimen seperti mana disebut dalam Perkara IV MOU tersebut.
"Pembaharuan perlu dibuat dengan segera bagi meletakkan SPRM
khususnya sebagai sebuah institusi bebas yang bertanggungjawab kepada Parlimen
bagi memastikan badan tersebut bebas dari campur tangan Eksekutif.
"Ini termasuklah dengan meletakkan kuasa penuh kepada
institusi Parlimen secara konsensus untuk melantik Ketua Pengarah SPRM serta
barisan Pesuruhjaya yang bertanggungjawab ke atas semua bidang tugas badan
terbabit.
"ABIM khuatir sekiranya perubahan ini tidak dilakukan,
situasi buruk yang berlaku hari ini akan terus berulang pada masa yang akan
datang," katanya.
Tegas Faisal, pembaharuan penting dilaksanakan secepat mungkin
untuk menyelamatkan negara ini daripada terjerumus ke dalam kemelut yang lebih
buruk