PM serah kuasa lantik KP SPRM kepada Parlimen jika enggan campur urusan siasatan - AMK






Kenyataan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak mahu campurtangan dalam siasatan ke atas Ketua Pesuruhjaya (KP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dikecam oleh Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia.


Menurut Ketua AMK Malaysia, Akmal Nasir, sekiranya PM ingin lepas tangan beliau seharusnya tidak memegang kuasa menasihati Yang di Pertuan Agong dalam melantik KP SPRM, dan memnyerahkan kuasa berkenaan kepada Parlimen sesuai dengan tujuan penubuhan suruhanjaya berkenaan.


"Respons dari PM beliau tidak boleh campurtangan, seolah olah beliau telah menerima laporan dan sebagainya tetapi tidak nampak komitmen untuk menukar (KP) atau membuat sesuatu tindakan lebih tegas.


"Dalam isu ini, kalau kita teliti Akta SPRM 5(3) menyebut kedudukan KP SPRM boleh kekal sehinggalah dibuat keputusan ditukar oleh Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat PM. Oleh itu jangan lupa KP hari ini adalah lantikan PM, bukan nasihat dari Parlimen


"Kalau nak mengatakan eksekutif jangan campurtangan, PM perlu beri komitmen, hari ini pindahkan kuasa lantikan KP itu dari tangan beliau ke kuasa Parlimen," katanya dalam sidang media di Dataran Putrajaya, pagi tadi.


Akmal mempertikaikan tindakan PM Ismail enggan campurtangan dalam menyiasat skandal KP SPRM

Menurut Akmal lagi, sesuai dengan kuasa PM, maka Majlis Presiden Pakatan Harapan kelmarin menuntut diadanya mesyuarat khas Dewan Rakyat bagi membincangkan isu tergempar berkenaan.


Bagaimanapun, hal itu tidak direspons oleh PM sehingga ke hari ini.


"Kita tahu peraturan Parlimen 13(1), PM selaku Ketua Majlis boleh panggil pada bila bila masa (sidang Parlimen) sebagaimana boleh panggil bincang isu banjir, biar pun terlewat sebulan. Beliau dalam hal ini ada kuasa panggil Parlimen bersidang bincang integriti SPRM," katanya lagi.


Selain itu, Akmal menegaskan negara sedang berhadapan situasi darurat integriti apabila KP SPRM didakwa terlibat dalam pembelian saham bagi pihak adiknya secara yang diragui.


Sebab itu, katanya, AMK mengadakan konvoi 100 kenderaan untuk menyerahkan memorandum ringkas ke ibu pejabat SPRM, iaitu meminta Azam Baki berundur.


Sementara itu, Ketua AMK Wilayah Persekutuan, P Prabakaran dalam komentarnya berkata, tujuan AMK mengadakan konvoi tersebut adalah bagi menyelamatkan SPRM daripada terus dipersoalkan integriti oleh rakyat.


"Perkara ini sangat penting kerana semua hal berkaitan SPRM. Kita AMK rasa perlu bangkit beri tekanan kepada kerajaan untuk pastikan Azam Baki undur atau pun pecat atau beri cuti sampai kes selesai.


"Orang keliru mengapa pegawai tinggi ada saham yang banyak dalam satu syarikat," katanya.


Memorandum ringkas yang sepatutnya menyedarkan rakyat tentang integriti SPRM yang perlu dibela

Konvoi 100 kenderaan AMK berkenaan tiba di ibu pejabat SPRM lebih kurang pukul12.00 tengah hari dan disambut deretan kenderaan peronda polis di luar pintu utama.


AMK sempat melakukan himpunan memegang sepanduk mendesak Azam berundur di pintu utama pagar bangunan SPRM sebelum menyerahkan sekeping kad memorandum ringkas bertulis "Harapkan pegar, pegar makan padi, Harapkan Azam Baki, SPRM hilang integriti".



 

No comments: