Pertembungan kerjasama di Melaka tak jejas Putrajaya, kata penganalisis


Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada mesyuarat bersama Ahli Parlimen malam tadi menjelang Mesyuarat Belanjawan Dewan Rakyat. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Walaupun Umno dan Bersatu tidak bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan, seorang penganalisis berkata memorandum persefahaman (MoU) antara Perdana Menteri dan Pakatan Harapan akan melindungi kerajaan Persekutuan daripada perselisihan dalam pilihan raya.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, ia akan menjadi “urusan berjalan seperti biasa” di Putrajaya walaupun Bersatu dan Umno akan bergerak sendiri dan bertembung dalam PRN.

“Bersatu sentiasa dialu-alukan untuk tinggalkan (kerajaan pusat), kerana nampaknya Ismail mendapat sokongan PH, jumlah yang kuat iaitu hampir 100 Ahli Parlimen,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, ini bermaksud Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin tidak mampu membuatkan kerajaan sedia ada jatuh kerana Ismail dapat mengumpulkan gabungan kerajaan alternatif, walaupun hanya Umno dengan PKR dan DAP.

“Pada ketika ini, Ismail nampaknya mempunyai kekuatan kerana beliau, dari satu segi, telah membentuk kerjasama pemerintah de facto dengan pembangkang.”

Ismail boleh bergantung pada sokongan 41 Ahli Parlimen Barisan Nasional dan 18 dari Gabungan Parti Sarawak, sementara rakan Pakatan Harapan dapat menyumbang 77 undi iaitu dari DAP (42) dan PKR (35) untuk jumlah 132 undi. Perikatan Nasional mempunyai 54 undi, di mana Bersatu sebanyak 31.

Oh dan Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata, ini bukan kali pertama parti berkenaan bertanding antara satu sama lain di peringkat negeri, sementara kekal sebagai rakan seperjuangan di Putrajaya.

Pada pertengahan 1980-an, Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) membentuk pembangkang di DUN Sarawak, manakala kerajaan negeri dibentuk oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), SUPP dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).

Namun, keempat-empat parti itu adalah sebahagian daripada kerajaan BN di Putrajaya.

“Selagi perpecahan sokongan dapat diurus dengan baik di peringkat DUN dan Parlimen, kejatuhan sesebuah kerajaan dapat dihindari,” kata Fauzi.

Beliau berasa sedikit terkejut melihat Umno dan Bersatu tidak bekerjasama dalam PRN Melaka, tetapi meramalkan bahawa kedua-dua parti itu masih menggunakan PRN sebagai ujian untuk melihat bagaimana mereka akan menghadapinya apabila bergerak sendiri.

No comments: