Iktiraf Taliban : Kerajaan akan ambil kira pandangan Pas – Timb Menteri




Kerajaan akan membuat keputusan bersama antara parti-parti pemerintah termasuk PAS dalam isu mengiktiraf Taliban sebagai kerajaan Afghanistan yang sah.

Timbalan Menteri Luar, Kamarudin Jaffar berkata, memandangkan PAS merupakan sebahagian daripada kerajaan dan pandangan daripada parti itu juga akan diambil kira.

“Soal keterlibatan PAS dalam menentukan dasar dan pengiktirafan (Taliban sebagai kerajaan Afghanistan), PAS adalah sebahagian anggota Jemaah Menteri dan sudah tentu apabila keputusan ingin dibuat, peranan PAS (diambil kira) seperti juga peranan parti lain dalam kerajaan dan Kabinet,” katanya di Dewan Rakyat.

Kerajaan akan ambil kira pandangan Pas - Timb Menteri

Kamarudin berkata, negara ini berpendirian bahawa sebarang perubahan politik dalaman Afghanistan perlu berpaksikan kepada kepentingan pemegang taruh serta aspirasi rakyatnya sendiri.

Beliau menjawab pertanyaan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang mahu tahu adakah pendirian PAS menyokong Taliban di Afghanistan akan mempengaruhi dasar luar negara.

Berhubung pandangan dan pendirian kerajaan terhadap Afghanistan yang dikuasai Taliban, Kamarudin menjelaskan negara ini berpendirian sebarang perubahan politik dalaman Afghanistan perlu berpaksikan kepentingan pemegang taruh serta aspirasi rakyatnya sendiri.

“Ia mesti berdasarkan pendekatan ‘Afghan-led, Afghan-owned and Afghan-controlled peace and national reconciliation process’,” katanya.

Katanya, mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 22 Ogos lalu di Jeddah, yang turut disertai Malaysia, telah menetapkan pendirian mengukuhkan komitmen dan sokongan terhadap Afghanistan seperti yang dinyatakan dalam resolusi yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak OIC dan Mesyuarat Menteri-menteri Luar.

Kamarudin berkata, negara anggota OIC bersetuju memberi sokongan penuh terhadap penyelesaian di Afghanistan dalam mencapai perdamaian secara komprehensif dan berkekalan.

Katanya, pendirian Malaysia selari dengan seluruh komuniti antarabangsa, iaitu memberi keutamaan kepada bantuan kemanusiaan dan pembangunan semula Afghanistan.

“Untuk tujuan ini, Malaysia juga seperti negara lain berpandangan bahawa keterlibatan secara membina (constructive engagement) perlu dilakukan dengan pihak yang berkuasa di Afghanistan.”

Katanya, Malaysia akan terus memantau perkembangan di Afghanistan dan pada masa sama, Kementerian Luar Negeri juga bersedia menjadi pemudah cara kepada badan bukan kerajaan (NGO) negara ini dalam usaha menghulurkan bantuan kemanusiaan.

No comments: