Serah pasport: Pemuda AMANAH persoal adakah wujud campur tangan eksekutif

 



Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON / October 25, 2021

Pemuda AMANAH Nasional mempersoal sama ada wujud campur tangan eksekutif ke atas hal kehakiman ekoran kebenaran yang diberikan Mahkamah Tinggi kepada Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya buat sementara.

Timbalan Ketuanya, Razak Ridzuan berkata, meskipun perkara ini dibenarkan dan di bawah kuasa mahkamah, namun ia bakal menghakis kepercayaan awam terhadap ketegasan dalam menangani kes jenayah dalam kalangan orang-orang kenamaan.

Justeru beliau mendesak pemulangan pasport kepada individu yang berkait dengan kes berprofil tinggi, disemak semula.

“Rata-rata akan melihat bahawa tindakan ini dibenarkan atas kapasiti mereka sebagai orang kenamaan dan bukan atas urusan yang begitu penting sehingga perlu diserahkan passport mereka.

“Melihat kepada alasan-alasan yang diberikan, semuanya bersifat peribadi dan tidaklah begitu terdesak berbanding dengan risiko yang mungkin boleh berlaku sepanjang ketiadaan mereka dalam negara.

“Pejabat Peguam Negara harus bertanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan mereka yang tertuduh berada dalam negara sehingga kes mereka selesai dan dilayan sama seperti pesalah jenayah lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemulangan pasport kepada individu kes berprofil tinggi menjadi pertikaian ramai pihak sejak minggu lalu selepas Datin Seri Rosmah dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendapat kebenaran sama untuk ke luar negara.

Mahkamah Tinggi membenarkan pemulangan pasport kepada Najib dan Rosamah bagi membolehkan mereka melawat anak perempuan mereka yang akan melahirkan anak di Singapura.

Manakala bagi kes Muhammad Shafee pula, pemulangan pasport dibenarkan bagi membolehkan peguam itu berjumpa anak lelakinya yang menyelesaikan pengajian di The New School Person, New York, Amerika Syarikat.

Sementara itu, Razak menegaskan, rakyat Malaysia akan melihat bahawa meskipun dituduh dengan kes jenayah yang berat dan diminta untuk diserah passport, tetapi perkara tersebut tidaklah menjadi satu masalah kepada golongan kenamaan berbanding mereka yang tidak mempunyai kemampuan berbuat demikian.

“Ramai yang bertanya adakah kesalahan tidak melunaskan hutang PTPTN itu lebih berbahaya berbanding mereka yang telah dituduh dengan kes jenayah, pecah amanah dan seleweng dana awam?,” soalnya.

 


No comments: