DAP terkejut kerajaan Muhyiddin hidupkan semula projek terpalit skandal era Najib

 

Oleh Aziera NH 

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyatakan rasa terkejut dengan tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi perdana menteri yang menghidupkan kembali dua projek saluran paip yang terpalit dengan skandal pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Ia berkaitan dengan projek Saluran Paip Pelbagai Produk Petroleum (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dikendalikan Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan (MOF).

“Kedua-dua projek ini adalah salah satu skandal kewangan paling tidak masuk akal dari pentadbiran Najib kerana SSER telah membayar RM8.3 bilion, atau 88 peratus daripada RM9.4 bilion nilai pembinaan projek tersebut, walaupun penyiapan kerja berperingkat (yang belum diaudit) hanya pada tahap 13 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng yang juga merupakan mantan menteri kewangan juga mempersoalkan mengapa Muhyiddin menghidupkan semula projek tersebut tanpa mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat.

“Persoalannya mengapa Muhyiddin tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pelaku kesalahan kewangan yang luar biasa dan besar ini, yang membayar berbilion ringgit untuk kerja yang tidak disiapkan, dengan 88 peratus pembayaran untuk 13 peratus kerja.

“Walaupun kerajaan sebelumnya telah memutuskan untuk menghidupkan kembali dan meneruskan kedua-dua projek tersebut, mereka yang terlibat dalam mengkhianati kepentingan kewangan negara tidak boleh dibiarkan terlepas tanpa hukuman,” katanya lagi.

Penerusan semula projek itu diketahui setelah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mendedahkannya dalam satu jawapan parlimen kepada Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin ketika sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Dalam pada itu, Guan Eng menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi penjelasan berkenaan perkara itu.

“Perdana menteri harus menjelaskan peranannya dalam pentadbiran sebelumnya dan menetapkan haluan baru untuk memastikan bukan sahaja kepentingan kewangan negara dilindungi tetapi mereka yang terlibat dalam menipu negara mereka sendiri dikenakan hukum yang berat.

“Kegagalan untuk berbuat demikian akan menunjukkan Ismail tiada beza dengan bekas perdana menteri sebelum ini yang menutup mata dan bahkan berusaha untuk menutup jenayah kewangan seumpama itu,” dakwanya lagi.