Warganet ‘sekolahkan’ Hadi selepas veteran Pas diseru berjuang

 


Oleh FAZLI RADZI / October 25, 2021

Rata-rata warganet mengkritik kepimpinan Pas pada masa ini susulan seruan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar veteran Pas, Assabiqun berperanan dalam perjuangan.

Bagi pengguna Facebook, Manaf Selasih, Muslim yang baik dan sihat akal jiwanya akan tahu cara sebenar perjuangan Islam ditegakkan.

“Semua Muslim yang tahu dan faham akan menolak mentah-mentah apa yang diseru oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang ini,” katanya dalam ruang komentar Facebook rasmi, Harakahdaily hari ini.

Tambah Manaf, sejak berzaman Islam menolak cara menduakan kesatuan Islam yang disekutukan dengan kumpulan politik yang sifatnya sempit.

“Muslim yang masuk politik boleh sahaja perjuangkan Islam sebagai orang Islam tanpa bising-bising mendakwa diri pejuang Islam,” hujahnya lagi.

Terdahulu, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dilapor berkata, berjihad menentang serangan pemikiran yang di bawah musuh kini menjadi fardhu ain bagi setiap individu.

Katanya, hal ini kerana beliau melihat kini, musuh sudah mula masuk ke negeri, rumah bahkan pemikiran orang Islam sendiri.

Ekoran itu, deretan komentar turut menyindir termasuk mengaitkan dengan pembelian nombor plat VIP.

“Pesan jangan buat plat kereta sampai RM100,000,” perli Shamsul Rahman.

Dalam masa sama, pemimpin Pas juga ditempelak ekoran penggunaan istilah Arab seperti ‘Assabiqun’ itu.

“Dok main istilah Arab. Kira habis lunaklah segala hati rakyat Malaysia ye? Zaman 80-an bolehlah. Pakat menitik air liur dengar ceramah.

“Campur-campur pula ayat-ayat al-Quran dan term Arabic. Balik ceramah rasa nak beli unta panjat, berkobar-kobar semangat,” sinis Zack Mortein.

Selain itu, ada juga netizen mengingatkan tentang sikap ‘cakap tidak serupa bikin’ orang Pas menjelang pilihan raya.

“Nak mengundi hari-hari keluar dalil. Yang pelik dia tidak menjadi contoh apa yang diucapkan,” kata Kasim Sabtu.

Bahkan, ada yang menegaskan mereka sudah tampil mempertahankan dan menegakkan Islam tetapi bukan bermakna akan memilih Pas di kertas undi nanti.

“Dah ambil peranan pun tapi tak undi Pas,” kata seorang warganet lagi.