PKR intai tambahan dua kerusi

 MGF30042018_Ceramah-Bersama-Penduduk-Kampung-Tun-Sardon_14-1-scaled

PKR mengintai dua kerusi tambahan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

MELAKA – Selain mahu terus bertarung di lapan kerusi yang ditandinginya pada 2018, PKR mengintai dua kerusi tambahan dalam pilihan raya negeri akan datang.

Timbalan Pengerusi PKR Melaka, Gue Teck berkata, berikutan peninggalan Bersatu, terdapat enam kerusi ‘kosong’ yang ditinggalkan parti itu untuk diambil alih oleh tiga parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, dalam keadaan tersebut, PKR berharap sekurang-kurangnya dua kerusi yang ‘terluang’ itu akan diberikan kepadanya untuk bertanding.

“Ketua-ketua parti PH Melaka akan memuktamadkan rundingan pengagihan kerusi dalam tempoh terdekat.

“Perbincangan setakat ini adalah positif dan dijangka mempunyai keputusan dengan segera. Sekiranya memerlukan penyelarasan, maka isu pengagihan akan dipanjangkan kepada perbincangan di peringkat pusat,” katanya kepada Sinchew Daily.

Gue Teck yang juga merupakan penyandang kerusi Kelebang berkata, PKR akan mengekalkan sekurang-kurangnya dua calon keturunan Cina, malahan ditambah kepada tiga orang untuk bertanding dalam pilihan raya negeri.

“Keputusannya bagaimanapun bergantung kepada perundingan,” ujarnya.

Beliau menegaskan, PKR Melaka tidak akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), Bersatu atau Pas dalam pilihan raya negeri dan parti-parti berkenaan juga tidak menghubungi PKR.

Menurutnya lagi, tanggapan bahawa empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meninggalkan PN telah bersama PH adalah tidak tepat.

Mengenai kedudukan Norhizam Hassan Baktee, Gue Teck berkata, PH tidak menerima penyandang kerusi Pengkalan Batu itu, tetapi kerjasama dengannya boleh dipertimbangkan, seperti mana PH bekerjasama dengan Pejuang. – MG

No comments: