NAJIB, ZAHID HAMIDI SETUJU ATAU TIDAK MOU DENGAN PH, MASIHKAH ADA MASA DEPAN BUAT MEREKA SELEPAS INI?

 

Sebagaimana sebahagian besar daripada kita menyedarinya, bekas Perdana Menteri Najib Razak adalah pemimpin yang paling aktif memberi komen di media sosialnya berkaitan apa saja isu yang berlaku dalam negara dalam tahun-tahun kebelakangan sejak UMNO kehilangan kuasanya.

Kadang-kadang reaksinya mencakupi lebih daripada satu sudut yang berbeza dan dimuatkan pula untuk bacaan rakyat hanya seketika selepas reaksi yang terdahulu dipaparkan.

Terutama ketika Mahiaddin Md Yasin jadi Perdana Menteri, keaktifannya memberi reaksi itu memang mengkagumkan serta memperlihatkan beliau memang menyediakan pasukan yang besar untuk menjaga plafform media sosialnya.

Reaksi, komen dan kritikan Najib yang kerap itu dengan jelas memperlihatkan keprihatinannya yang tinggi terhadap semua perkembangan dalam negara, di samping menunjukkan sikapnya yang tidak setuju terhadap Mahiaddin.

Pemimpin kedua yang tidak kurang aktifnya di media sosial sewaktu era Mahiaddin ialah Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

Meskipun beliau banyak menyentuh isu-isu yang melibatkan kedudukannya sebagai Presiden UMNO serta hubungan parti itu dengan kerajaan PN dan Mahiaddin, Zahid Hamidi bagaimanapun tidak lupa juga mengulas perkara-perkara yang berkaitan kepentingan rakyat.

Gandingan Najib dan Zahid itu dalam memberi reaksi dan komen itu benar-benar dirasakan suatu tekanan buat Mahiaddin sehingglah akhirnya beliau terkulai dan meletak jawatan pada 16 Ogos lalu.

Tetapi semua era aktif melibatkan Najib dan Zahid Hamidi itu barangkali boleh dianggap sudah tinggal sejarah sekarang ini sebaik Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri menggantikan Mahiaddin.

Sekarang ini, selepas berbelas jam berlaku sekali pun, meski banyak isu menarik yang berlaku, media sosial Najib dan Zahid Hamidi nampak sepi bagai rumah tiada lagi penghuni.

Dalam banyak isu, kedua-dua mereka kelihatan lesu dan tidak bermaya untuk memberi reaksi, manakala Najib ternampak lebih ghairah mengulas hal berkaitan sukan berbanding politik.

Misalnya dalam isu perlantikan Mahiaddin yang gagal sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri, sehingga ke hari Najib hanya berdiam diri dan tidak mengungkap walau sepatah kata sekali pun.

Setuju atau tidak beliau atas perlantikan yang dibuat Ismail Sabri itu, sedangkan sebelum ini hampir semua tindakan Mahiaddin pasti ada saja ulasan dan kritikannya?

Zahid Hamidi pula hanya mengulas ringan atas perlantikan Mahiaddin itu dengan menyerahkan atas kebijaksanaan Ismail Sabri selaku Perdana Menteri berbuat demikian.

Takkan sekadar itu saja komen seorang Presiden UMNO, sebuah parti Melayu terbesar dan tertua apabila musuh yang telah dijatuhkan tapi kemudian diberi semula jawatan bertaraf menteri oleh pemimpin UMNO sendiri?

Dalam isu paling terkini iaitu termetrainya MOU antara kerajaan pimpinan Ismail Sabri dengan PH yang menggambarkan wujudnya kerjasama rasmi dengan blok pembangkang, sampai sekarang belum terdengar lagi sebarang komen atau reaksi daripada Najib dan Zahid Hamidi mengenainya.

Apa agaknya pendirian kedua-dua mereka – setuju atau tidak dengan MOU dengan PH itu?

Jika sebelum ini Najib dan Zahid Hamidi sekadar hanya berani mengutus surat secara sembunyi-bunyi kepada Istana Negara untuk menyokong Anwar Ibrahim, namun tidak pernah berani mengakui secara terbuka keaslian surat tersebut serta tandatangan mereka, Ismail Sabri sebaliknya jauh lebih berani dengan terus duduk semeja untuk menandatangani MOU dengan Ketua Pembangkang itu?

Nampaknya tanpa memperdulikan ketetapan No Anwar No DAP yang telah dimuktamadkan dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini dan itulah juga sebenarnya pendirian rasmi UMNO sekarang ini, Ismail Sabri telah menunjukkan keberaniannya melanggar semua itu dengan penuh selamba saja.

Tidak cukup dengan itu, dalam majlis menandatangani MOU semalam di Bangunan Parlimen, di sebalik difahami ia adalah melibatkan kerajaan dengan PH sebagai blok pembangkang, UMNO dan kepimpinannya langsung tidak dilibatkan sama sekali.

Oleh kerana Ismail Sabri sekadar Naib Presiden UMNO, apalah salahnya diberi penghormatan kepada Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO untuk turut hadir sama sebagai gambaran kerajaan yang dipimpinnya sekarang adalah kerajaan yang ditunjangi parti itu?

Tidak terasakah Zahid Hamidi dan Najib bahawa UMNO sudah diperkecil dan diperlekehkan dengan termetrainya MOU antara kerajaan pimpinan Ismail Sabri dengan PH semalam?

Di mana sebetulnya kedudukan UMNO dalam kerajaan yang ada sekarang dan lebih penting lagi, masih ada masa depankah selepas ini buat Zahid Hamidi dan Najib dengan termetrainya MOU yang diterajui Ismail Sabri dengan Anwar semalam itu? – 

ShahbudinHusin 14/09/2021.



No comments: