Pelaksanaan MoU mungkin sukar, kata Guan Eng

 

Lim Guan Eng berkata, DAP mengakui bahawa perjanjian yang ditandatangani dengan kerajaan itu bukan satu langkah ideal.

PETALING JAYA: Perjanjian bersejarah antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) menerusi kerjasama dwipartisan mempunyai perjalanan yang masih panjang kerana pelaksanaan agenda yang dipersetujui itu mungkin sukar dilakukan, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Menurutnya, walaupun janji untuk mengadakan transformasi institusi dalam memorandum persefahaman (MoU) itu adalah baik tetapi keraguan terhadap keikhlasan kerajaan juga disedari.

Mengambil kira situasi politik semasa beliau berkata, DAP mengakui bahawa perjanjian yang ditandatangani dengan kerajaan itu bukan satu langkah ideal, terutamanya apabila berurusan dengan pihak lawan yang tidak mempunyai sejarah dalam menunjukkan komitmen terhadap transformasi politik.

“Bagaimanapun PH dan DAP masih sanggup mencuba memaksa mereka (kerajaan)c melakukan transformasi ini dan pada masa sama mengikut rancangan kami untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat dengan memanfaatkan kebimbangan kerajaan akan kemungkinan hilang kuasa melalui satu lagi rampasan dalam kalangan mereka.

“Walaupun MoU itu telah pun dipersetujui, apa yang sukar ialah pelaksanaannya.

“Sama ada objektif murni ini boleh dicapai atau tidak, ia terletak pada pelaksanaannya yang akan dipantau oleh jawatankuasa pemandu yang diwakili secara seimbang membabitkan lima menteri kerajaan dan lima wakil pembangkang,” katanya dalam kenyataan.

Lim turut berkata, permainan angka politik juga perlu diberikan “moratorium” ketika negara masih lagi berdepan krisis Covid-19.

“(Moratorium juga patut dilakukan) terhadap tindakan membeli Ahli Parlimen seperti ternakan lembu yang memberi manfaat kepada ahli politik tidak jujur yang cuba mencari kuasa dan kedudukan ketika negara berdepan krisis Covid-19 dan kemelesetan ekonomi,” katanya.

Katanya, pelan pemulihan ekonomi dan Covid-19 berjumlah RM45 bilion bersama pengecualian faedah pinjaman bank adalah “penting” sambil menambah beliau telah berbincang dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz untuk mempertimbangkan lanjutan pengecualian kepada industri kecil dan sederhana (IKS).

Beliau turut menggesa supaya lebih banyak dana disalurkan kepada hospital awam dan lebih banyak ujian saringan secara besar-besaran dilakukan untuk menangani kes Covid-19.

Semalam, kerajaan persekutuan dan PH menandatangani MoU “transformasi dan kestabilan politik” yang merangkumi enam bidang.

MoU itu meliputi pengukuhan pelan untuk memerangi Covid-19, Perjanjian Malaysia 1963 serta kebebasan badan kehakiman.

Ia juga membabitkan transformasi Parlimen, kerajaan dan pembentukan jawatankuasa pemandu bagi MoU berkenaan.

No comments: