Ibu bapa fail permohonan hentikan vaksinasi budak bawah 18 tahun

 

Pelajar Tingkatan 4 dan 5 di Sekolah Menengah Batu Lintang, Kuching, menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin pada 10 September. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Sekumpulan ibu bapa memfailkan saman terhadap kerajaan, memohon vaksinasi untuk kanak-kanak bawah 18 tahun dihentikan, sehingga hasil ujian klinikal terhadap Ivermectin diperolehi.

Permohonan semakan kehakiman itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 30 Ogos lalu bagi pihak 18 kanak-kanak di Pulau Pinang.

Pesuruhjaya Kehakiman Wong Hock Chong menetapkan 15 Oktober untuk mendengar izin memohon semakan kehakiman itu.

Kerajaan, Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan, dan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi dinamakan sebagai responden.

Ibu bapa berkenaan dinamakan dalam saman itu, namun identiti mereka dirahsiakan untuk melindungi privasi kanak-kanak terlibat, yang masih bawah umur dan tidak boleh memfailkannya sendiri.

Vaksinasi kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun yang mempunyai masalah kesihatan akan bermula bulan ini, disusuli vaksinasi remaja yang sihat. Vaksinasi kanak-kanak bawah usia 18 telah pun bermula di Sarawak.

Menurut saman itu, keputusan kerajaan memvaksin remaja dilakukan tanpa membuat kajian penuh mengenai kesannya terhadap kanak-kanak.

Peguam Lee Khai yang mengetuai barisan peguam plaintif berkata, vaksinasi adalah pilihan peribadi, dan vaksin yang digunakan kini hanya mendapat kelulusan bersyarat pihak berkuasa.

Antara perkara dimohon termasuk perintah untuk kerajaan menarik balik pendaftaran bersyarat bagi vaksin sekiranya Ivermectin didapati berkesan.

Ivermectin menjadi isu kontroversi di seluruh dunia berkaitan rawatan Covid-19, malah ada yang menganggapnya ‘dadah ajaib’, termasuk aktivis antivaksin.

Bagaimanapun, pihak berkuasa di Malaysia, AS dan negara lain, malah pembuat Ivermectin sendiri, berkata tiada bukti ia boleh digunakan untuk rawatan Covid-19.

Dadah itu kini di peringkat ujian klinikal oleh Kementerian Kesihatan.

No comments: