Anwar saran lantik muka baharu ketuai MPN, bukan Muhyiddin

 

Anwar Ibrahim berkata, Muhyiddin Yassin gagal memulihkan negara walaupun beliau memiliki kuasa penuh semasa negara di bawah perintah darurat dan mengetuai Majlis Pemulihan Negara.


KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mencadangkan wakil kerajaan lain dipilih untuk mengetuai Majlis Pemulihan Negara (MPN), bukannya Muhyiddin Yassin kerana majlis itu di bawah pimpinannya sebelum ini tidak menampakkan hasil positif dengan jangkitan Covid-19 mencecah puluhan ribu kes setiap hari.

“Sebab itu kita beritahu perdana menteri, sebaiknya lantiklah tokoh baharu dari kerajaan, kita tidak cadang wakil daripada pembangkang.

“Atau melantik individu lain yang ada pengalaman serta mampu mengendalikan MPN, janganlah ambil orang sama dan mengharapkan cadangan baharu yang boleh menyelesaikan masalah.

“(Ketika Muhyiddin) jadi perdana menteri, ada kuasa penuh semasa pelaksanaan darurat, banyak (perkara) gagal, banyak kes. Yang lebih menyulitkan adalah jumlah kematian dicatatkan negara kita adalah paling tinggi di dunia,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Mukhriz Mahathir (PEJUANG-Jerlun) mengenai pandangannya berhubung pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN ketika menjadi perdana menteri dan selepas meletakkan jawatan itu, adakah ia lebih baik dalam memulihkan negara kerana di bawah pimpinannya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal melakukannya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob hari ini mempertahankan keputusan melantik semula Muhyiddin sebagai pengerusi MPN bertaraf Menteri.

Katanya, pelantikan itu disebabkan bekas perdana menteri terbabit memegang jawatan berkenaan sejak MPN ditubuhkan di bawah kerajaan PN.

Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan berkata, beliau menjalankan tugas sebagai pengerusi MPN secara sukarela tanpa mendapat sebarang imbuhan.

No comments: