MoU dengan PH akan diterjemah dalam aspek pemulihan negara, kata Bung

 

Perjanjian kerjasama antara kerajaan dan Pakatan Harapan dibuat atas kepentingan negara dan rakyat, kata Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin.

KOTA KINABALU: Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata, perjanjian kerjasama antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja membawa kebaikan dari sudut politik, malah manfaatnya akan diterjemahkan dalam aspek pemulihan negara pasca-Covid-19.

Katanya, kerjasama itu yang dibuat ketika negara berdepan masalah kesihatan dan ekonomi adalah sesuatu yang positif dan tepat pada masanya.

“Perundingan ini dibuat atas kepentingan negara dan rakyat. Selepas keseluruhan rakyat menerima vaksin, kerajaan boleh mengadakan pilihan raya umum.

“Kerjasama ini sekurang-kurangnya akan membawa keamanan dalam negara, menjernihkan seketika konflik politik dan sekali gus memberikan kerajaan ruang untuk fokus sepenuhnya terhadap memberi khidmat kepada rakyat.

“Kita tahu rakyat sangat dahagakan bantuan, sokongan dan kepimpinan yang kukuh, jadi kerjasama yang bermakna akan memberi peluang untuk kerajaan bergerak dengan lebih efektif,” katanya dalam kenyataan.

Bung yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata, walaupun perjanjian itu hanya bersifat sementara, pandangan blok pembangkang tetap akan diambil kira oleh kerajaan demi kebaikan negara dan rakyat.

Katanya, pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan membentuk kerjasama dwipartisan yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia itu juga selaras titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Kita yakin memorandum persefahaman yang dizahirkan ini bukan sahaja berupaya mengetepikan segala perbezaan politik, bahkan mampu memastikan pemulihan negara berjalan secara holistik dan inklusif,” katanya.

Semalam, kerajaan persekutuan dan PH memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU yang terhasil daripada beberapa siri perbincangan antara wakil kerajaan dan pembangkang itu ditandatangani secara bersama oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Ia mengandungi tawaran transformasi Parlimen dan pentadbiran untuk mengembalikan kestabilan politik bagi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Turut menandatangani MoU itu ialah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden UPKO Wilfred Madius Tangau.

 


No comments: