Imran Ariff -August 16, 2021 4:22 P
(Dari kiri) Charles Santiago, Fahmi Fadzil, William Leong dan Ong Kian Ming menyuarakan pandangan mereka di media sosial berhubung peletakan jawatan Kabinet.
PETALING JAYA: Susulan kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin, Ahli-ahli Parlimen pantas memandang ke arah apa yang akan berlaku selepas ini – iaitu pemilihan Kabinet yang bakal dilantik Perdana Menteri seterusnya.
Bercakap kepada FMT hari ini, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, beliau mengharapkan perkara itu dapat diselesaikan segera oleh Agong.
“Tidak jelas berapa lama proses (pelantikan Perdana Menteri baharu), tetapi memandangkan masalah besar dialami dengan Covid-19, keadaan hospital kita serta kadar pengangguran, harap-harap semuanya diselesaikan secepat mungkin,” kata Ahli Parlimen dari DAP itu.
“Kita tidak mampu membiarkan perkara ini berterusan selama berminggu-minggu.”
Bagaimanapun, beliau mengakui mungkin sukar mencapai penyelesaian dengan cepat kerana “memandangkan kemelut politik pada ketika ini, ia mungkin akan berlanjutan.”
William Leong dari PKR menggesa supaya mandat diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum lalu dikembalikan kepada mereka.
“Kita kini boleh bergerak ke arah fasa seterusnya pelantikan Perdana Menteri baharu oleh Agong. Diharapkan semua parti akan menghormati semua konvensyen demokrasi,” katanya yang juga Ahli Parlimen Selayang.
“Demi kestabilan dan demokrasi, semua parti mesti menghormati mandat rakyat pada PRU14 dan membenarkan PH mentadbir sehingga habis penggal ini.”
Ahli Parlimen Bangi yang juga dari DAP, Ong Kian Ming mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada beberapa menteri di Twitter, khususnya menteri penyelaras vaksinasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.
“Pertama sekali, terima kasih @Khairykj atas usaha anda dalam program vaksinasi kebangsaan. Saya pernah menghadiri mesyuarat CITF (Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19) dan tahu betapa mencabarnya tugas itu.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih @tzafrul_aziz kerana keterbukaannya dalam menerima maklum balas daripada saya dan rakan sekerja. Kami mungkin tidak bersetuju mengenai isu fiskal, tetapi saya faham cabarannya kerana pernah pengalaman selama dua bulan sebagai pegawai khas menteri di Kementerian Kewangan.”
Ong turut mengiktiraf bekas menteri pendidikan tinggi Noraini Ahmad, yang telah meletak jawatan sebelum ini sebagai menyokong keputusan Umno menarik balik sokongan terhadap kerajaan. Antara lain Ong memuji tindakannya meluluskan biasiswa untuk seorang pelajar B40 bagi meneruskan pengajian di Imperial College di London.
Warganet turut bersuara
Warganet pantas memberi reaksi di media sosial terhadap berita peletakan jawatan Kabinet itu, dengan ramai yang mengucapkan terima kasih kepada Khairy bagi usahanya sebagai menteri vaksinasi.
“Terima kasih atas perkhidmatan anda Khairy, apapun anda telah melakukan yang terbaik,” kata Yu Wei.
Terry John turut mengucapkan terima kasih kepada Khairy atas usaha keras serta perkhidmatannya sepanjang wabak.
“Malah hanya anda (Khairy) menteri yang kompeten dalam Kabinet Perikatan Nasional yang melaksanakan tugas dengan cemerlang. Program vaksinasi berjalan lancar dan harap-harap kerajaan baharu akan melantik semula anda untuk mengetuai program itu,” katanya