Hentilah peralatkan Mahiaddin, biarlah beliau rehat- BAHAGIAN 1 ULASAN

 


Description: https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjv97P9dhrgAMkgCmcuIQkISjexRM9vFoZnf6omKGwIz_l-yvgXLuKSq7mVPNPyuHNh64JjiuXVMRqRkJbUoPG8j1k2JeNcY3SmtcSQLAmQaMvtbjrGyHzIdF9h7chqW-lysJP2zuoWjJ7x/s320/IMG_20210808_170856.jpg

PELARIAN Mahiaddin Md Yassin sudah memasuki selekoh terakhir dan akan menuju ke garis penamat. Kurang 24 jam lagi beliau akan mencecah finish line ribbon. Berapakah masa catatan yang akan dibuatnya, masih ditunggu dengan penuh minat dan debaran. Jurumasa sedang merekodnya. Apakah beliau akan memecah rekod dunia atau negara sebagai PM terpendek atau pun mencipta rekod peribadi?  

 

Rekod sendiri yang tersendiri sudah pasti berjaya dicatatnya.

 

Selepas beliau mengadakan perjumpaan dengan menteri kabinet di Putrajaya disebelah pagi semalam dan dengan pimpinan partinya di rumahnya disebelah petang, kian marak spekulasi beliau akan berundur. Kononnya sudah ada mata yang melihat atau ternampak beliau sudah masuk ke selekoh 100 meter. Sudah hampir sangat ke garisan penamat. 

Pertemuan dengan menteri kabinet petang semalam adalah perjumpaan terakhir, perjumpaan "sayonara." Begitu juga dengan mesyuarat partinya mungkin juga terakhir. Mesyuarat itu khabarnya dipengerusikan oleh timbalannya Ahmad Faizal Azumu. Apabila beliau tidak lagi mempengerusi mesyuarat, bermakna beliau telah menyerahkan tugas kepada timbalannya, beliau sudah hilang selera untuk mengendalikannya. 

 

Tiada pilihan lain lagi baginya melainkan terpaksa menghabiskan "pelarian" dalam keadaan trajis seperti itu. Penolakan pelan tawaran bipartisan menjadi klimaks kepada usahanya untuk selamatkan diri dan kedudukan. Tawaran pelan kerjasama itu adalah usaha terakhir yang sangat berani dibuatnya. Risiko daripada penolakan itu menyebabkan beliau mengambil keputusan apa yang difaham kini.

 

Beliau dikatakan sudah menulis surat peletakan jawatan? Esok akan menghadap Yang diPertuan Agong untuk menyerahkannya. Perkara ini disahkan oleh seorang menteri lewat tengah hari tadi? Sememangnya itulah prosedur yang sepatutnya. Selepas menyerahkan surat peletakan jawatan, paling awal tengah hari, beliau akan mengadakan perutusan mungkin yang terakhir, atau sebaliknya?

 

 

Di sini saya tidak mahu bercakap sesuatu yang dalam genggam Tuhan dan takdir. Politik itu tetap sebagai seni serba mungkin.  

 

Saya masih bersikap skeptikal dengan apa yang akan berlaku terhadap Mahiaddin. Walaupun disebut sendiri oleh seorang menteri beliau akan letak jawatan. Ini kerana sudah barang tentu masih ada usaha terakhir oleh pihak-pihak tertentu untuk menghalangnya meletak jawatan. 

 

Usaha itu bukan lagi untuk kepentingan dan kebahagiaan Mahiaddin, tetapi untuk diri mereka sendiri. Kerana peletakan jawatan Mahiaddin menyebabkan yang lain juga akan ikut meletak jawatan, kerajaan PN yang digahkan sebagai kerajaan Melayu Islam juga akan tumbang. Yang terkorban dan menjadi mangsa atas keputusan ahli Parlimen Pagoh itu bukan sahaja beliau tetapi yang lain juga.

 

Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin, Jaafar Kamaruddin, Takiyuddin Hassan, Annuar Musa, Ismail Sabri Yaakob ikut sama "syahid". 

 

Sekiranya Mahiaddin sudah membuat keputusan itu, bagi saya biarlah beliau meneruskannya. Jangan diganggu dan dihalang lagi.