MAHIADDIN LETAK JAWATAN BUKAN SEBAB UMNO TARIK SOKONGAN, TAPI KERANA DIKECEWAKAN DAP

 

Mahiaddin Md Yasin kini sudah sah akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dilakukan tengahari ini selepas beliau menghadap Yang Dipertuan Agong bagi menyerahkan surat perletakan jawatannya.

Tetapi, kenapa tiba-tiba saja Mahiaddin mengambil keputusan meletakkan jawatan?

Apakah yang menyebabkannya berbuat demikian?

Adakah ia disebabkan UMNO menarik sokongan terhadapnya yang disertai pula dengan kritikan tanpa henti beberapa pemimpin parti itu seperti Zahid Hamidi, Mohamad Hasan, Khaled Nordin, Najib Razak dan lain-lainnya?

Ataukah ia didorong kerana parti-parti pembangkang menolak tujuh tawaran yang dibuatnya baru-baru ini?

Jika kita perhatikan, MT UMNO membuat keputusan menarik sokongan terhadap kerajaan PN pada 3 Ogos lalu yang kemudian disusuli dengan surat akuan berkenaan beberapa Ahli Parlimennya yang setuju menarik sokongan itu yang dihantar kepada Yang Dipertuan Agong di Istana Negara.

Dua menteri UMNO, Shamsul Anuar Nasarah dan Noraini Ahmad selepas itu turut menghantar surat perletakan jawatan masing-masing.


Begitu pun, jika kita masih ingat juga, Mahiaddin ketika itu langsung tidak tergugat, malah ketika dimaklumkan oleh Agong berkenaan penarikan sokongan sejumlah Ahli Parlimen UMNO, beliau tanpa ragu-ragu setuju untuk keabsahannya yang dipertikaikan itu diuji melalui undi percaya dalam sidang Parlimen, September depan.

Pada 13 Ogos pula beliau membuat tujuh tawaran kepada blok pembangkang yang antaranya peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen, rundingan belanjawan sebelum dibentangkan, membenarkan undi 18 tahun, tempoh Perdana Menteri hanya dua penggal, undang-undang anti lompat dan lain-lainnya yang ternampak mampu memberi harapan untuknya memenangi undian usul percaya di Parlimen nanti.

Hanya beberapa jam selepas itu, semua parti blok pembangkang, termasuk UMNO dengan tegas menolak tawaran Mahiaddin itu.

Seterusnya pada 14 Ogos, Mahiaddin mengadakan pertemuan mengejut dengan pemimpin-pemimpin PN dan memaklumkan hasratnya untuk meletakkan jawatan.

Jadi, apakah yang sebenarnya mendorong Mahiaddin tiba-tiba mahu meletak jawatan setelah sebelum itu begitu yakin mampu mempertahankan jawatannya – kerana tawarannya itu ditolak mentah-mentah oleh blok pembangkang atau kerana penarikan sokongan daripada UMNO yang angka terakhir berbuat demikian adalah 15 Ahli Parlimen semuanya?

Daripada maklumat yang diterima daripada mereka yang dekat dengan Bersatu memberitahu, Mahiaddin tidak rasa tergugat dengan penarikan sokongan UMNO terhadapnya, tetapi yang benar-benar mengecewakannya ialah apabila tujuh tawarannya itu ditolak mentah-mentah, khususnya oleh DAP.

Dikatakan sebelum membuat tawaran itu, beberapa rundingan antara pemimpin PN dengan pemimpin DAP telah pun diadakan dan pada asasnya, sejumlah mereka telah setuju untuk menerima tawaran tersebut dan sedia membalasnya dengan menyokong usul undi percaya di Parlimen.

Terdapat laporan media yang menyebut, mereka yang terlibat dalam rundingan itu ialah Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi pihak PN dan Tony Pua serta Ong Kian Ming bagi pihak DAP.

Asas ada pemimpin DAP setuju menerima tawaran itu yang bererti mengekalkan lagi Mahiaddin adalah kerana mereka tidak mahu melihat kluster mahkamah dalam UMNO berkuasa semula melalui kemungkinan wujudnya kerjasama dengan PH.

Dengan andaian hampir separuh daripada 42 Ahli Parlimen DAP bersetuju menyokong usul undi percaya, bermakna ia sudah lebih daripada cukup untuk menampung kehilangan majoriti yang disebabkan penarikan sokongan 15 Ahli Parlimen UMNO itu.

Dengan keyakinan memperolehi sokongan DAP itulah yang menyebabkan Mahiaddin sanggup bertemu Presiden Pas, Hadi Awang di Marang Terengganu untuk memberi penjelasan serta memohon restu daripada pemimpin tersebut.

Tetapi penolakan DAP secara total terhadap tawaran itu dikatakan benar-benar membuatkan Mahiaddin kecewa dan harapannya untuk memiliki majoriti yang cukup dengan sendirinya telah musnah.

Keputusan Mahiaddin meletakkan jawatan kemudiannya adalah disebabkan beliau tidak sedia menghadiri sidang Parlimen September nanti dalam keadaan dirinya pasti tiada lagi sokongan majoriti.

Dalam hal ini, seorang pemimpin Bersatu menyalahkan Mahiaddin sendiri atas kegagalan misi mendapat sokongan daripada DAP itu.

Katanya, silap Mahiaddin ialah kerana tidak berterus-terang dengan menyatakan perkara itu telah dibincangkan dengan DAP terlebih dahulu.

Mahiaddin dikatakan cuba bermain politik dengan melontarkan tawaran itu dan berharap DAP akan segera menyambutnya dengan positif bagi menampakkan beliau seorang yang berjiwa besar dan ingin berdamai tanpa mengambil kira DAP juga ada perkiraan politiknya yang perlu dijaga.

Kata pemimpin Bersatu itu lagi, jika Mahiaddin berterus-terang menyebut tawaran-tawaran itu telah dibincangkan dengan DAP terlebih dahulu, ia pasti membuatkan DAP terperangkap dan tidak mampu berdalih lagi.

Silap Mahiaddin juga, kata pemimpin Bersatu itu lagi ialah kerana perkara itu tidak dibincangkan dengan teliti oleh Perdana Menteri dengan mereka yang arif tentang strategi politik dalam parti, tetapi hanya dengan beberapa kerat yang rapat dengannya saja.

Padahnya hilanglah jawatan Perdana Menteri, tambah pemimpin itu setesrusnya.

 (ShahbudinHusin 16/08/2021)




No comments: