Biarkanlah Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia yang
baru dilantik ini uruskan siapa dia hendak pilih jadi Timbalan Perdana Menteri,
siapa-siapa akan jadi menteri dalam Kabinet. Di bawah Perkara 43 (2) (b)
Perlembagaan Persekutuan jelas disebut : “atas nasihat Perdana Menteri, Yang
di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-Menteri lain daripada kalangan ahli
mana-mana satu Majlis Parlimen.”
Blok pembangkang, khususnya Pakatan Harapan tidak perlu jadi
budak nakal di dalam Parlimen ataupun di luar Parlimen mengganggu dan menggugat
tak tentu hala Perdana Menteri yang baru sahaja dilantik ini. Rakyat tak suka,
semua orang tak suka.
Biarkan Ismail Sabri menguruskan pentadbiran negara dengan
tenteram. Jika Perdana Menteri Ismail Sabri menghadapi asakan atau diganyang
oleh saingan politiknya dari Parti Bersatu atau lain-lain parti dalam payung
besar PN atau BN, ambil sikap, itu urusan dalam klik pemerintah sekarang. Kalau
cerita penglipur lara di sebut, “ Biarkan si Luncai, terjun dengan
labu-labunya.”
Jadi apa yang Harapan perlu lakukan sekarang selepas terlepas
peluang untuk kembali jadi kerajaan? Jawapannya mudah sahaja. Tumpukan segala
tenaga dan fikiran kepada pilihanraya umum ke-15 yang akan datang dalam tempoh
tak sampai dua tahun lagi.
Jangan campak Anwar Ibrahim ke bawah bas selepas dia gagal dalam
persaingan menjadi Perdana Menteri ke-9. Harapan amat memerlukannya sekarang
untuk menjadi komander dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Lupakanlah segala syor dan cadangan supaya Anwar terlibat dalam
kerajaan perpaduan ataupun kerjasama bi-partisan. Kalau Harapan yang memimpin
kerajaan, mungkin idea kerajaan perpaduan atau kerjasama bi-partisan itu masuk
akal dan berfaedah. Tetapi kalau Harapan sekarang ibarat seperti melukut di
tepi gantang, yang tak dijemput, tak diundang, jangan sampai hidung tak mancung
pipi tersorong-sorong.
Harapan bukan satu jenama yang koyak dan kalah. Harapan adalah
jenama politik untuk masa depan. Harapan hanya kurang 6 undi sokongan sahaja
untuk mendapatkan majoriti membentuk kerajaan persekutuan. Itu tak susah
diperolehi di dalam pilihanraya akan datang.
Penting ditegaskan di sini. Saya bukan macai Anwar Ibrahim. Saya
pengkritik lantang kepada Anwar dalam parti dan di luar parti, secara terbuka
ataupun secara “one to one” secara peribadi. Kalau tak percaya, boleh tanya
Anwar sendiri. Banyak insiden saya menentangnya. Anwar suruh ahli parlimen
pembangkang duduk, tetapi saya berdiri di dalam Parlimen. Saya langgar displin.
Saya langgar arahan Anwar. Saya ikut hati nurani saya sebagai seorang ahli
parlimen.
Tetapi di dalam keadaan sekarang, minta maaf saya cakap,
janganlah ada kawan-kawan dalam Harapan yang suruh Anwar letak jawatan. Saya
dengar ada cadangan minta Harapan pilih pemimpin lain. Mereka berhujah
kononnya, Anwar sudah tak diperlukan lagi. Ini semua “nonsense”. Cakap-cakap
seperti itu datang dari Deep State, dari musuh Harapan yang memang hendak
menghancurkan Harapan dan Anwar Ibrahim terutamanya.
Anwar Ibrahim sudah jadi Perdana Menteri hari ini jika dia
tunduk terhadap tuntutan Kluster Mahkamah dari Umno. Anwar tidak berkompromi.
“Rule of law” atau kedaulatan undang-undang mesti dipelihara, dijunjung dan
dihormati. Mahkamah tidak boleh diganggu. Perjalanan proses keadilan tidak
boleh dicemar. Itu sikap Anwar. Itu pendirian tegas Anwar. Apa yang Anwar buat
itu betul. Dalam keadaan krisis rebut kuasa Anwar lulus dalam ujian. Dia tidak
gila kuasa. Dia tidak mabuk jawatan.
Anwar tetap mempertahankan idealisme reformasinya yang
diketuainya lebih 23 tahun lalu, bukannya kilauan jawatan dan keberahian kuasa
Perdana Menteri yang tempoh memanas kerusi tak sampai dua tahun sahaja dari
saat ini. Anwar memilih kepentingan rakyat dan negara pada jangka panjang
bukannya kepentingan peribadinya untuk jangka pendek.
Begitu juga. Anwar Ibrahim sudah ada di Pejabat Perdana Menteri
hari ini, kalau dia menanggih sedekah sokongan dari GPS di Sarawak dan tunduk
terhadap tekanan dengan berjanji jawatan itu dan ini. Anwar tidak tergoda untuk
meraih sokongan seperti pengemis politik. Pengerusi Harapan dan Presiden
Keadilan ini ada maruah, ada integriti. Dia tetap tenang dan tawakal. Anwar
telah lulus ujian.
Pemimpin-pemimpin pelapis, dari kalangan muda, dari pemuda dan
wanita, tampillah ke depan. Pemimpin-pemimpin senior Harapan bangun dan bergerak
ke saf hadapan. Tetapi usah Anwar cuba dipinggirkan.Sekali lagi saya mohon,
jangan campak Anwar ke bawah bas. Bayangkan senario pernah terjadi. Selepas
PRU-13, Anwar dihumban oleh regim Umno/BN Najib ke penjara. Pakatan Rakyat
pecah dan hancur.
Lontarkanlah segala kata nista yang buruk-buruk serta fitnah
seranah kepada Anwar, jika itu golongan yang membenci Anwar mahu lakukan.
Tetapi jangan lupa, orang yang bernama Anwar Ibrahim inilah yang bangun dan
muncul kembali dari dalam penjara membina semula perpaduan parti-parti
pembangkang sehingga Harapan berjaya menumbangkan Umno/BN dan Najib dalam
pilihanraya umum Mei 2018 lalu.
Jadi kepada Anwar Ibrahim, saya berharap supaya tenang dan
fokus. Ini tugas sejarah anda untuk memimpin rakyat menghadapi Pilihanraya Umum
ke-15 akan datang supaya kita dapatkan semula mandat rakyat dan di tanahair
kita ini akan kita bangunkan sebuah negara moden yang progresif, yang adil dan
demokratik; sebuah kerajaan rakyat untuk rakyat semua kamu dan agama dengan
berasaskan dasar keadilan untuk semua.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang