Panas! Hadi pertahan Taliban

 Panas! Hadi pertahan Taliban


Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa media Barat telah menggunakan isu melibatkan Taliban bagi memburukkan Islam tanpa mengkaji ajaran Islam secara menyeluruh.

Malah katanya, penyebaran berita palsu kononnya Taliban berniaga dadah adalah suatu yang tidak masuk akal terhadap kumpulan yang keras berpegang kepada agama.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, apa yang berlaku adalah kumpulan bukan Islam yang datang untuk berniaga dadah dan memarahi Taliban kerana mengharamkannya dengan keras.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, perkataan T4L1ban dalam bahasa Pashto bererti pelajar, dikenali dengan kumpulan pelajar agama dan ditubuhkan Almarhum Mulla Umar Mujahid bersama rakan-rakannya di wilayah Kandahar yang terletak di selatan Afghanistan.

“Beliau dibaiah menjadi Amir (Ketua) T4L1ban pada tahun 1994. Mereka ialah kumpulan pelajar agama yang mengikuti sistem pengajian Deoband di India yang bermazhab Hanafi. Institusi pengajian yang mengikut sistem lama, sepertimana sistem pondok di Malaysia yang lebih khusus kepada Mazhab Syafi‘i sahaja berdasarkan pegangan penduduk setempat,” katanya melalui satu kenyataan yang disiarkan di laman sosial Facebooknya pada Rabu.

Jelas beliau, pada awalnya, mereka menyertai perang untuk berjihad menentang tentera Soviet yang menceroboh negara Afghanistan.

“Kemudiannya perjuangan mereka berubah kepada tindakan menentang isu keruntuhan moral dan jenayah yang merebak di wilayah Kandahar. Khususnya apabila pihak Mujahidin tidak mampu untuk menubuhkan kerajaan selepas pengunduran tentera Soviet.

“Kumpulan Taliban seterusnya dituduh terlibat dalam perang proksi yang dicetuskan selepas pengunduran Kesatuan Soviet (Soviet Union), tuduhan yang digunakan oleh Agensi Perisik Pusat (CIA).

“Begitu juga terdapat tuduhan yang digunakan oleh perisikan Pakistan bagi menentang kumpulan Mujahidin, apabila Taliban membebaskan mereka setelah ditawan oleh satu kumpulan Mujahidin. Walau bagaimanapun, pihak T4L1ban menafikan dengan sekeras-kerasnya semua tuduhan itu.

“Apabila mereka memenangi pertempuran pada peringkat awal, mereka bertindak memaksa Mazhab Hanafi yang asal diamalkan. Sehinggalah mereka mewajibkan kaum lelaki supaya berjanggut dan tidak membenarkan golongan wanita bersekolah dan pelbagai tindakan yang lain lagi,” kata Abdul Hadi.

Kini, katanya setelah kumpulan Taliban sekali lagi berjaya mencipta sejarah di Afghanistan dengan mengalahkan tentera Amerika Syarikat yang akhirnya terpaksa berundur, tiba-tiba berlaku suatu perubahan dalam pendekatan mereka.

“Antaranya ialah mengisytiharkan pengampunan secara beramai-ramai terhadap kakitangan kerajaan yang sebelum ini berada di bawah pengaruh Amerika Syarikat.

“Selain itu, mereka juga mengambil pendekatan meraikan terhadap kepelbagaian masyarakat di Afghanistan yang terdiri daripada masyarakat majmuk pelbagai qabilah, suku kaum, mazhab Sunni dan Syiah. Sekalipun mereka mempunyai majoriti kaum Pashtun beraliran Sunni yang bermazhab Hanafi,” ujarnya.

No comments: