Undi tidak percaya: Jika PM komited tangani COVID-19, PH tidak mahu 'persulitkan' keadaan - Anwar

 

Firdaus Azil
Undi tidak percaya: Jika PM komited tangani COVID-19, PH tidak mahu 'persulitkan' keadaan - Anwar
Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim ditemui media selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) tidak mahu ‘mempersulitkan’ keadaan jika Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan terus komited dalam menangani COVID-19, dan masalah ekonomi rakyat serta negara.
Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim, buat masa ini PH sedia untuk berganding bahu sekiranya Kerajaan terus mewujudkan program-program bersifat pro-rakyat, serta polisi yang bersesuaian untuk membantu golongan miskin, serta mereka yang kehilangan pekerjaan.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, PH mengambil pendirian untuk meredakan suhu politik semasa bagi membolehkan Kerajaan berfungsi dengan baik.
Kita beritahu (Perdana Menteri), kalau suasana kekal begini (aman), perbanyakkan program pro rakyat, kita tak akan persulitkan,” katanya kepada media ketika ditanya mengenai kemungkinan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri sewaktu sesi Parlimen awal bulan September.
Terdahulu, Ketua Pembangkang itu bersama-sama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, dan Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, telah mengadakan pertemuan selama sejam dengan Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, hari ini.
Dalam kenyataan bersama susulan pertemuan itu, mereka bersetuju untuk memberi tumpuan kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis COVID-19, menjaga nyawa, dan keselamatan rakyat.
Selain itu kenyataan tersebut menyebut, mereka telah mencapai persetujuan bersama dalam memperkasa Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif, supaya lebih telus, dan memenuhi kehendak rakyat.
“Kami juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi, dan tatekelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks ‘Keluarga Malaysia’, “menurut kenyataan bersama itu lagi

No comments: